Abu Dzar Al-Ghafiri sahabat si pembela fakir miskin

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

Abu Dzar Al-Ghafiri adalah antara sahabat yang terawal memeluk Islam. Nama sebenar beliau ialah Jundub bin Junadah.

Beliau dikenali sebagai seorang sahabat yang sangat zuhud. Nabi SAW pernah bersabda:

“Barangsiapa yang ingin melihat kezuhudan Nabi Isa bin Maryam, maka lihatlah kepada Abu Dzar.”

Beliau seorang yang sangat takut kepada kekayaan. Bagi beliau, seseorang tidak wajar memiliki harta melebihi keperluan sehari semalam sahaja.

Beliau sangat terkesan dengan ayat 34 dan 35 Surah at-Taubah yang melarang menyimpan harta emas dan perak.

“Wahai orang -orang yang beriman! Sesungguhnya banyak daripada orang -orang alim dan rahib-rahib mereka benar-benar memakan harta orang lain dengan batil, dan mereka menghalang (manusia) darpada jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah ( tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

“Ingatlah pada hari ketika emas dan perak dipanaskan di dalam (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak ( dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah (harta bendamu) yang telah kamu simpan untuk diri sendiri, maka rasakan (azab) dari” apa yang kamu simpan itu”. (Surah At- Taubah: 34-35)

Beliau juga dikenali sebagai peguam fakir miskin kerana sikapnya yang suka membela nasib orang miskin, walaupun dia sendiri tergolong di kalangan fakir miskin. Beliau menjadi tempat pengaduan orang miskin dan kemudian akan membawanya ke peringkat atasan.

Dengan kezuhudan yang tinggi itu, beliau dikurniakan hati yang cekal dan sangat ikhlas terhadap Islam.

Tidak hairanlah mengapa nasihat beliau didengari oleh para sahabat dan sewajarnya menjadi panduan kepada kita hari ini.

Adu Dzar pernah berdiri berhampiran kaabah seraya berseru, “Wahai sekalian manusia! Kemari dan dengarkanlah perkataan orang yang merasa hiba dan terpanggil untuk menasihati kalian.”

Orang-orang yang berada di sana berkumpul mengelilinginya.

Abu Dzar berkata, “Wahai para Ikhwanku! Bagaimana menurut anda sekalian, jika ada seseorang yang ingin berpergian (bermusafir) namun dia tidak mempunyai bekal, apakah dia boleh untuk sampai kepada tujuannya?”

Jawab mereka yang mendengar, “sudah tentu, tidak.”

Beliau pun berkata, “perjalanan di hari kiamat (hari pembalasan) adalah jauh lebih jauh dari semua perjalanan. Ambillah semua yang layak menjadi bekal kalian. Lakukan di dunia ini segala yang akan kalian petik hasilnya di akhirat kelak”

“Berhajilah untuk mengingat peristiwa-peristiwa yang besar. Berpuasalah di hari yang sangat panas untuk menghadapi yaumul mahkhsyar. Solatlah di kepekatan malam untuk kalian mengingati alam kubur. Bersedekahlah dengan harta kalian agar kalian selamat dari kesusahan akhirat.”

“Jadikanlah dunia ini sebagai dua majlis sahaja, iaitu majlis untuk mencari sesuatu yang halal dan majlis untuk mencari kebahagian akhirat”

Beliau telah menunjukkan qudwah, membenarkan kata-katanya dengan tindakan yang boleh kita jadikan contoh sepanjang kehidupan.

Ketika perang Tabuk, Nabi memerintahkan supaya orang yang mampu agar terlibat dalam peperangan itu. Hanya mereka yang tidak memiliki kenderaan, terkecuali dan tidak boleh turut serta kerana perjalanan yang sangat jauh, paling jauh dalam sejarah perang Nabi Muhammad SAW.

Abu Dzar ikut bersama pada awalnya, tetapi disebabkan haiwan kenderaan beliau yang lemah, beliau tertinggal jauh di belakang keseorangan.

Para sahabat yang kasihan menyatakan perkara itu kepada Nabi tetapi baginda berkata:

“Jika Allah menghendaki kebaikan padanya, dia akan sampai juga tapi jika sebaliknya, dia tidak akan bersama.”

Akhirnya Abu Dzar ambil keputusan turun dari haiwannya dan berjalan kaki mengejar rombongan tentera Islam. Rasulullah SAW ketika melihat kelibat Abu Dzar datang berseorangan dari belakang, merasa sangat terharu lalu bersabda:

“Rahmat Allah terhadap Abu Dzar. Beliau berjalan keseorangan, mati keseorangan dan dibangkitkan keseorangan.”

Lihatlah kesungguhan beliau untuk bersama Rasulullah SAW menegakkan Islam sehingga risalah dan kefahaman ini sampai kepada kita bukan memberikan alasan demi alasan untuk tidak ikut berperang bersama Nabi Muhammad SAW.

Moga kisah agung ini memberi inspirasi kepada kita untuk menyumbangkan tenaga, harta, masa, wang ringgit untuk kebaikan dan kemenangan umat Islam. Moga Allah terus beri kita kekuatan untuk beramal dan berbakti di bulan Ramadan yang mulia ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat