Adakah Anwar Ibrahim Akan Jadi PM ke 9?

1. Jawapan pendek saya TIDAK

2. Walaupun pelbagai komentar dan wacana dianjurkan dengan seribu satu teori rentetan pengumuman bahawa DSAI akan mengadap YDPA pada tanggal 13 Oktober (Selasa) nanti, apa yang bakal berlaku boleh saya simpulkan dalam dua senario

3. Senario pertama ialah DSAI benar-benar memiliki sokongan majoriti ahli parlimen. Dalam konteks ini YDPA dengan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan boleh mengambil beberapa tindakan berdasarkan kebijaksanaan Tuanku

4. Pertama, setelah dipastikan kebenaran majoriti yang didakwa DSAI, Tuanku boleh membubarkan parlimen bagi membolehkan PRU diadakan. Namun dalam keadaan kritikal gelombang Covid-19 yang semakin menggila, Tuanku mungkin tidak akan berbuat demikian. Tambahan pula sistem dan infrastruktur negara masih belum bersedia untuk e-voting (undi dalam talian)

5. Kedua, YDPA juga boleh melantik DSAI sebagai Perdana Menteri baharu tanpa PRU sebagaimana apa yang berlaku ketika perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 tahun lalu

6. Namun semua tahu, untuk mendapat majoriti DSAI perlu disokong oleh 42 ahli parlimen DAP bersama khadam DAP (PAN), ahli parlimen PKR yang setia dengan beliau serta para ahli parlimen UMNO yang menyokong DS Zahid Hamidi yang sedang berhadapan pelbagai kes salah laku di mahkamah

7. YDPA sudah tentu begitu arif apa akan berlaku kepada kedaulatan negara jika DSAI yang begitu mesra dengan US, DAP yang rasis dan anti-perlembagaan dan para perasuah UMNO kembali berada di tampuk kuasa

8. Atas faktor-faktor inilah saya kuat merasakan bahawa YDPA akan menggunakan kebijaksanaan Tuanku dan peruntukan perlembagaan negara untuk terus memastikan keharmonian, keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara. Ini hanya dapat dilakukan jika DSAI tidak menjadi PM-9

9. Perkara terakhir yang boleh diputuskan YDPA jika kemelut ini berterusan ialah mengistiharkan darurat. Kemungkinan ini juga tipis pada pandangan saya mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 dan kelestarian ekonomi negara sedia ada

10. Senario kedua pula ialah DSAI sebenarnya tidak memiliki sokongan majoriti ahli parlimen tapi sekadar menggunakan muslihat dan mengambil kesempatan dapat mengadap YDPA bagi melobi sokongan ahli parlimen lain

11. Jika betul senario ini berlaku, saya amat yakin dan percaya YDPA akan mampu menghidu taktik lapuk DSAI ini dengan mudah. Tuanku boleh menggunakan hikmah dan meminta DSAI untuk mengusulkan undi tidak percaya kepada perdana menteri. Dengan cara ini, misi DSAI akan mengambil masa lebih panjang iaitu sehingga persidangan parlimen akan datang

12. Diharapkan ketika itu pandemik Covid-19 sudah semakin baik untuk diadakan PRU jika benar DSAI berjaya melobi ahli-ahli parlimen yang berkepentingan untuk menyokong beliau. Itupun kalau beliau berjaya

13. Mengambil kira kedua-dua senario di atas saya merasakan peluang bagi DSAI untuk menjadi PM-9 adalah amat tipis. Tambahan pula beliau tampak sudah semakin dimamah usia, tidak begitu sihat, tiada agenda mempertahankan kedaulatan Melayu, Islam dan Raja serta amat lemah dalam menjayakan projek pembangunan negara

14. Kedaulatan negara, keselamatan dan kesihatan rakyat berkaitan pandemik Covid-19 dan pembangunan ekonomi negara adalah keutamaan yang perlu diberikan fokus oleh kerajaan dengan sinergi dari pemimpin parti pembangkang sekarang

15. Jangan disebabkan menang sorak, kampung tergadai!

Ir. Ts. Lukman Al Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat