
MELAKA, 24 Oktober – “Pendidikan adalah kunci perubahan umat, dan asasnya bermula dari rumah, pada ibu dan ayah. Itu adalah kata-kata Syeikh Abdullah Nasih Ulwan, penulis kitab Tarbiyatul Aulad.
“Tetapi soalnya bagaimana seorang ibu mahu mengunci hati yang resah, yang mudah tersentak, untuk mendidik anak-anak dengan penuh hikmah?,” kata Dr. Hidayah Ahmad Azam pembimbing Akademi Ummi.
Dr. Hidayah Ahmad Azam, berkata demikian ketika sesi pertama Akademi Ummi di Surau al-Muttaqin Taman Rumput Perdana yang disertai 40 orang wanita dalam kalangan ibu muda.
Ujarnya, tujuan Akademi Ummi ini adalah medan menuntut ilmu bagi melahirkan ibu yang ada hati dan jiwa dalam mendidik anak-anak.

“Mendidik anak-anak bukan hanya dengan ilmu, tetapi hati yang beriman, tutur kata yang lembut, dan sabar yang luas.
“Kenapa? Kerana kami percaya pada pesan ini:
“Bila ibu itu beriman, lembut tutur katanya, luas sabarnya, maka dari rahim dan ribanya lahir pejuang masa depan, pewaris bumi dan pembawa panji Islam,” ujar Dr. Hidayah yang mempunyai tujuh orang cahaya mata.
Akademi Ummi bukan sahaja sesi ceramah, tetapi merupakan majlis ilmu yang disertai pelbagai aktiviti dan simulasi praktikal buat ibu-ibu muda aplikasikan di dalam rumah.
Menurut Dr. Hidayah lagi kuliah yang akan berlangsung sebanyak 20 sesi tidak akan membosankan kerana ada perkongsian situasi harian, simulasi praktikal menangani ‘tantrum’ anak, juga bengkel lain seperti buat aktiviti DIY Doa Harian Anak, membina Carta Rutin Harian yang praktikal untuk dipasang di rumah.

“Akademi Ummi adalah program 20 sesi yang kita akan lalui dua minggu sekali. Setiap pertemuan ada kuliah dan bengkel interaktif, berasaskan rujukan kukuh dari kitab Tarbiyatul Aulad.
“Kami baru sahaja bermula, tetapi semangat ummi-ummi di Taman Paya Rumput Perdana pagi tadi sudah membuktikan perubahan umat bermula di sini, di tangan kita,” katanya yang masih mengalu-alukan penyertaan ibu-ibu dari kawasan sekitar.

