Anak Istimewa atau mama Istimewa?

Mama banyak termenung hari ni. Sebulan dua ni banyak sampai ke telinga mama orang-orang yang masih muda tapi Allah dah jemput. Banyak benda yang mama fikirkan.

Dah ready ke mama kalau esok nak kena check in 7 kaki bawah tanah?

Dah habis study ke nak jawab soalan Mungkar dan Nakir?

Tapi biasalah duduk di rumah ni memang selalu fikir yang bukan-bukan. Ada masa mama tak boleh nak elak daripada rasa sunyi selepas mama berhenti kerja untuk jaga Aneesah. Mama cemburu pada kawan-kawan yang boleh mengejar karier dan cita-cita sedang mama….apa yang mama boleh capai di sini?

Dengan macam-macam isu pengasuh dan bibik bagai, memang tak la kalau mama nak hantar Aneesah pergi taska. Takpelah mama jaga Aneesah sendiri. Apa-apa biarlah Aneesah depan mata mama. Mama takut ada hak Aneesah yang mama tak tertunai. Mama juga taknak menyesal di kemudian hari. Mama yakin keputusan ini yang paling tepat, bantu mama ya Allah.

Alhamdulillah mama dah dapat macam-macam ni’mat yang Allah bagi sepanjang 40 tahun lebih usia mama. Bila mama dapat Aneesah, ia seolah-olah wake up call untuk mama dan abah. Jika tidak ada Aneesah, mama tak boleh bayangkan mama dah terbang ke mana di bumi Allah ni dan mungkin tak ingat nak jejak ke bumi.

Aneesah lah tali yang tarik mama semula ke bawah.

Mama seronok dengan kerjaya dan pencapaian mama di pejabat. Mama bagi segala- gala yang mama ada hingga ada masanya mama korbankan anak-anak mama.

Sehebat mana pun seorang perempuan, dia tidak akan mampu untuk memikul segala tanggungjawab sebagai seorang boss di pejabat, isteri, anak kepada ibubapa yang sudah semakin tua dan ibu kepada anak-anak yang kehausan kasih sayang. Lebih-lebih lagi Aneesah, mama takut satu hari nanti mama akan menyesal bila mana segalanya sudah terlambat dan masa tidak boleh diundurkan semula.

Duit selama mana dikejar pasti tidak akan pernah cukup dan mama yakin rezeki itu ada di mana-mana. Mungkin rezeki mama bukan pada wang ringgit tapi boleh datang dengan kesihatan yang baik, anak-anak yang tidak bermasalah dan jiwa yang tenang.

Yakinlah Allah itu ada untuk bantu kita setiap kali kita perlukan Dia.

Sewaktu mama berhenti kerja, Aneesah berumur 4 tahun. Anak mama ni ada Angleman Syndrome. Ada kromosomnya yg terkurang. Kesannnya, perkembangan Aneesah sangat lambat. Aneesah cuma berjalan selepas umur 5 tahun, boleh bercakap tapi mama sendiri pun tak faham. Jadi Aneesah masih perlu memakai pampers dan mama lah yang perlu mengatur bila Aneesah perlu makan dan minum kerana dia tidak pandai untuk meminta.

Ada waktunya mama cuba bayangkan bagaimana ya kalau Aneesah normal seperti anak-anak yang lain? Mesti

Aneesah petah bertanya mama itu dan ini, boleh bantu mama di dapur dan mesti pandai pilih nak pakai baju apa.

Hakikatnya satu patah perkataan Aneesah pun mama tak dapat nak faham, mamalah yang menyuapkan makan dan minum Aneesah sampai umurnya sekarang 9 tahun dan mama jugalah yang pilih baju Aneesah sebab dia tak kisah pun nak pakai baju apa.

Namun kenyataannya Aneesah adalah ANUGERAH buat keluarga ini. Bukan pembawa malang, anak cacat yang memalukan atau beban buat mama dan abah hingga akhir nyawa. Bukan salah mama atau abah yang menyebabkan Aneesah jadi begini.

Walaupun ada masa tidak ada kawan-kawan yang mahu bermain dengan Aneesah kerana jijik dengan air liur yang meleleh tak henti atau tak pandai berkawan seperti kanak-kanak lain. Mama akan tetap bawa Aneesah ke mana mama pergi selagi kudrat mama masih ada. Anak mama ini bukan untuk disorok dalam rumah ata dikurung walaupun dia memang tidak faham apa-apa.

Setidak-tidaknya dia sudah pasti salah seorang ahli syurga di sana. Anak-anak mama yang lain belum tentu lagi.

Moga Allah bagi mama kekuatan untuk terus menjaga amanah Allah ini dengan sebaik-baiknya.

Orang kata, Aneesah ni anak istimewa tapi bagi mama bukan Aneesah yang istimewa tapi yg ISTIMEWA itu MAMA.

Dalam ramai-ramai manusia di dunia ni Allah pilih mama untuk Dia bagi “HADIAH” ini. Ya Allah, terima kasih dan berilah aku kekuatan dan bantulah aku untuk menjaga amanahMu ini, amin.

Asmizana Tarmizi
Ketua Biro Keluarga dan Kemasyarakatan
ISMA Alor Gajah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat