Kita perlu menyedari bahawa isu penyakit Human Immunodeficiency Virus (HIV), khususnya dalam kalangan remaja, bukan sekadar soal rawatan atau ubat. Ia menyentuh soal tingkah laku seksual, tekanan sosial, dan pembentukan identiti yang kesemuanya berlaku dalam fasa kehidupan yang masih rapuh dan mudah terpengaruh. Remaja dari sudut psikologi perkembangan, mereka masih memerlukan bimbingan, kawalan dan sempadan yang sihat.
PrEP (Profilaksis Pra-Pendedahan), meskipun mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV jika diambil dengan betul, namun ia bukan penyelesaian utama kepada akar masalah iaitu tidak mencegah jangkitan penyakit kelamin (STD) lain, tidak merawat kemurungan akibat konflik identiti, dan tidak menenangkan jiwa remaja yang keliru dengan arah hidup.
Bahkan, jika akses kepada PrEP dilonggarkan tanpa sempadan nilai, ia boleh disalahguna dan menjadi ‘lesen selamat’ untuk meneruskan tingkah laku berisiko tinggi, termasuk hubungan sejenis secara tersembunyi dan berulang.
Lebih berbahaya lagi jika ada suara-suara yang di kemudian hari yang berani mencadangkan PrEP diberi tanpa kebenaran ibu bapa akan bergema lalu menjadi dasar.
Dalam sistem perubatan kita, ibu bapa bukan sekadar penjaga sah mereka tetapi sebagai pelindung dan pendidik utama anak anak. Menafikan hak mereka dalam keputusan penting anak bawah umur bukan sahaja bercanggah dengan garis panduan etika perubatan dan Akta Kanak-Kanak 2001, malah mengancam struktur kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat.
Kita tidak boleh mendiamkan diri apabila wujud usaha untuk menormalisasikan budaya dan gaya hidup yang bertentangan dengan nilai agama, budaya serta menunggang atas nama kesihatan awam atau hak asasi manusia tanpa sempadan.
Mencegah homoseksualiti bukan tindakan membenci, tetapi langkah mendidik dan melindungi. Ia adalah mesej kesihatan awam yang perlu disampaikan dengan kasih sayang dan penuh hikmah. Bercakap tentang akhlak, kawalan nafsu dan harga diri bukanlah satu stigma tapi ia adalah satu tanggungjawab.
Memberi PrEP sambil membiarkan akar permasalahan berterusan ibarat mengelap lantai yang basah, sedangkan paip masih dibiarkan terbuka.
Agama dan budaya setempat sejak dahulu mengangkat nilai kesucian diri, kawalan hawa nafsu dan penghormatan terhadap tubuh sendiri. Maka menahan diri (abstinence) iaitu menjauhi seks bebas, seks luar tabii dan zina bukan idea kolot, tetapi langkah paling berkesan dan selari dengan akal, sains dan wahyu. Ia adalah benteng sebenar melawan HIV, STI dan keruntuhan moral.
Inilah masa untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), NGO dan seluruh masyarakat berganding bahu menyusun semula pendekatan sesuai. Kami di Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) serius dalam berkempen dan turun kepada masyarakat dalam memberi kesedaran tentang konsep pendidikan seksualiti yang patuh syariah tanpa mengabaikan nilai, budaya dan agama.
PrEP mungkin salah satu alat intervensi, tetapi ia tidak boleh dan tidak sepatutnya menjadi jalan utama dalam menangani krisis ini.
Anak-anak kita masih boleh dibentuk. Jangan biarkan mereka hanyut dalam arus normalisasi yang menenggelamkan suara ibu bapa, meremehkan agama dan meleraikan nilai hidup.
Dr. Najwa Hanim Ab Latiff
Penggubal Modul RepoAlert!
Aktivis i-Medik