Apabila Ai Mula Tentukan Fikiran Kita

Bayangkan satu pagi yang tenang. Anda duduk, buka telefon, dan bertanya kepada ChatGPT: “Apa hukum ini?” atau “Apa maksud sebenar sejarah peristiwa itu?” atau “Apa patut saya percaya tentang isu ini?” Jawapan muncul sepantas kilat. Tersusun. Meyakinkan. Bahasa sopan. Tetapi tanpa anda sedar, ia dibentuk berdasarkan data, logik dan kefahaman yang tidak pun berakar dari budaya kita. Tidak berpaut pada nilai kita. Apatah lagi berlandas kepada akidah kita.

Inilah zaman di mana maklumat tidak lagi hadir dalam bentuk asalnya. Ia hadir sebagai tafsiran yang sudah ditapis, dibingkaikan, dan disadur oleh sistem kecerdasan buatan, yang bukan sahaja memberi jawapan, tetapi perlahan-lahan mempengaruhi arah fikir manusia. Kita hidup dalam dunia yang kononnya ‘bermaklumat’, tetapi realitinya kita hanya diberi apa yang dipilihkan oleh sistem. Ironinya, sistem itu bukan kita yang bina. Kita hanya pengguna.

Apa itu AI
Apa itu AI? Secara mudah, ia adalah sistem yang cuba meniru keupayaan manusia untuk berfikir, menganalisis, menulis dan membuat keputusan. Tetapi AI bukan manusia. Ia tidak berjiwa, tidak beragama, tidak berbudaya. Ia hanya setia kepada corak yang dipelajari daripada data yang diberi, dan majoriti data itu datang dari luar. Maka segala logik dan pertimbangan nilai di dalamnya pun lahir dari pandangan dunia yang bukan milik kita.

Di permukaan, AI kelihatan membantu. Ia menjawab soalan-soalan sukar. Ia memudahkan kerja. Ia mempercepatkan pencarian maklumat. Tapi apabila digunakan tanpa batas, tanpa sempadan nilai, tanpa kawalan arah; di situlah muncul bahaya yang tidak terlihat. Pelajar mula bergantung padanya untuk memahami subjek agama, sedangkan AI itu tidak pernah melalui proses tarbiyah. Pesakit lebih percaya dos ubat yang dicadangkan oleh AI berbanding preskripsi doktor bertauliah. Guru menggunakannya untuk merangka bahan mengajar, tetapi AI itu tidak kenal sensitiviti lokal. Pentadbir menggunakan AI untuk analisis dasar, sedangkan sistem itu mungkin berpaksikan kehendak geopolitik luar.

Lama-kelamaan, sesuatu yang salah pun boleh kelihatan logik, dan sesuatu yang benar pun boleh kelihatan ekstrem. Bukan kerana kita tidak bijak. Tetapi kerana kita terlalu percaya pada mesin yang kelihatan pintar, sedangkan kita tidak tahu nilai apa yang tersembunyi di sebaliknya. Di situlah terjadinya penjajahan halus, bukan dengan senjata, tetapi dengan sistem yang ‘cerdik’.

Dalam skala lebih besar, AI digunakan dalam pentadbiran, pendidikan, keselamatan dan perundangan. Namun, jika sistem itu dimiliki luar, dibangunkan di luar, dilatih dengan data luar, maka setiap keputusan yang lahir daripadanya membawa risiko kawalan pemikiran yang tidak kita sedari. Sebuah khutbah Jumaat yang dibantu AI mungkin tampak indah bahasanya, tetapi apakah nilai yang tersisip di dalamnya? Sebuah sistem saringan biasiswa mungkin kelihatan adil, tetapi adil dari kacamata siapa?

Kuasai AI, bukan Ai kuasai kita
Namun, kita tidak wajar menjadi terlalu skeptikal. AI bukan musuh. Ia alat. Ia sangat berguna jika dipandu dengan betul. Dalam bidang kesihatan, AI boleh bantu mengesan penyakit lebih awal. Dalam pendidikan, AI boleh membantu pelajar belajar mengikut kadar kefahaman masing-masing. Dalam perniagaan, ia boleh mempercepat proses analitik. Tetapi setiap manfaat ini hanya kekal sebagai kebaikan jika kawalan terhadap arah dan nilainya berada di tangan kita sendiri.

Maka disinilah isu sebenar muncul. Bukan sekadar tentang teknologi, tetapi tentang kuasa. Kuasa untuk menentukan logik. Kuasa untuk memutuskan nilai. Kuasa untuk menentukan arah fikir dan arah masa depan. Jika semua ini kita serahkan kepada sistem luar, maka lambat laun kita akan kehilangan kedaulatan pemikiran. Lebih berbahaya, kita akan menyangka bahawa semuanya neutral, padahal ia sarat dengan faham yang sudah dibentuk tanpa kita sedar.

Qamarul Nazrin bin Harun
Pensyarah Fakulti Sains Maklumat
Universiti Teknologi MARA, Johor

Scroll to Top