Pada hari ini saya lihat ramai orang mula bercakap berkenaan kepentingan menimbang hukum dalam menghadapi cabaran semasa. Bagaimanapun saya terasa sedikit janggal apabila timbangan tersebut dibentangkan kepada saya contohnya mengapa berkeras tentang isu khinzir sedangkan isu rasuah lebih utama.
Sebelum bercakap mengenai perkara ini kita perlu sedar apakah dikotomi ilmu barat dan bagaimana ianya berbeza dengan kesepaduan ilmu Islam. Kesepaduan ilmu Islam sebenarnya berpunca dari akar akidah mengesakan Allah sehingga menerima syariat secara keseluruhan waimma yang turun melalui jalan wahyu dan pengkhabaran yang benar dengan hukum alam yang diperoleh menerusi kajian empirikal.
Dikotomi ilmu barat pula bukan semata-mata dalam konteks penulisan (tasnif) ilmu bahkan lebih dalam lagi ianya berakar dari pemikiran mengasingkan agama dari kehidupan. Ilmu fiqh termasuk juga fiqh mizan atau fiqh awlawiyat tidak terpisah daripada kesepaduan ilmu Islam. Bagaimanapun penuntut ilmu boleh tersilap apabila terbawa-bawa pendekatan barat dengan cara menyusun kedudukan ilmu ini dalam susunan dikotomi ilmu barat.
Sekalipun ilmu ini dibahaskan secara mendalam, namun, jika diletakkan dalam kedudukan yang salah, tetap tidak dapat berfungsi dengan betul dan tepat.
Baik, mari kita lihat dari sudut minda strategik. Paling mudah kita guna logik SWOT iaitu menentukan kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman. Kita jalinkan perkaitan antara angkubah ini sehingga meningkatkan kekuatan ummah dan menutup kelemahan ummah. Sudah tentu ia perlu dijalankan dengan teliti, saya cuma sebutkan secara ringkas.
Setelah itu, jika kita mahu menjalankan pertimbangan yang strategik sudah tentu kita perlukan formula atau kiraan matematik. Kiraan matematik biasanya melibatkan tambah, tolak, darab, bahagi, kuasa dan lain-lain lagi. Katakan kita jadikan umat islam sebagai subjek yang mengesakan Allah. Bilangan umat Islam yang ramai, dan menjalankan dakwah non muslim sebagai tambah.
Manakala operasi tolak untuk insiden pencairan identiti umat contohnya menari dengan bertudung tetapi tidak pakai kain. Serta Melayu korupsi mempertahankan kuasa juga boleh kita katakan sebagai operasi tolak. Intervensi terhadap perancangan musuh (atau dianggap) pula adalah bahagi contohnya Sultan Selangor murka perancangan ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar. Perancangan strategik dari institusi umat contohnya institusi diraja dalam mewujudkan lepasan sekolah agama yang menghafal al-Quran dan profesional kita letak sebagai darab. Pemilihan kerjaya dalam bidang strategik dalam kalangan kader dakwah juga boleh kita letakkan sebagai darab, atau mungkin ganda.
Akhirnya timbangan ini bukan dalam konteks melihat isu perse yang terpisah-pisah tetapi dalam kerangka menunaikan tuntutan agama dan melunaskan fardu ain dan fardu kifayah.
Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas
Ketua Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Nilai


