Apabila tular sesuatu insiden yang memalukan seperti menari tarian zumba tanpa berseluar. Timbul persoalan, sudah hilangkah perasaan malu sehingga mencemarkan maruah wanita Islam. Sejauh mana kita masih ada malu sebagai umat? Dalam tangkapan skrin yang tersebar, wujud elemen pemakaian yang tidak bermoral di ruang awam, sehingga mencetuskan kemarahan ramai.
Lebih menyedihkan, insiden itu berlaku dalam suasana umat Islam baru sahaja menyambut Israk Mikraj peristiwa agung yang mengangkat disiplin ibadah, adab, dan kehormatan.
“Spontan” bukan lesen hilang adab
Bila pelaku minta maaf sambil bermain skrip spontan dan luar perancangan penganjur, masyarakat tidak wajib telan alasan murahan yang jelas cuba meringankan kesalahan.
Spontan tidak menghapuskan hakikat seorang dewasa mukallaf boleh melanggar sempadan adab di tempat awam, itu bukan spontan tetapi budaya. Budaya yang menganggap maruah agama boleh ditukar dengan ketawa, sorakan, dan tontonan.
Kalau benar ada yang menganggap ini strategi pemasaran, kononnya asal viral, nanti orang datang maka inilah kemuncak kedangkalan. Tagline “bad marketing is marketing” mungkin laku untuk jenama murahan yang tak kisah maruah, tetapi sikap itu sangat jijik bila diaplikasikan pada ruang komuniti Islam, seolah-olah kehormatan wanita, simbol pakaian, dan nama Islam boleh jadi umpan “engagement”.
Keprihatinan masyarakat
Di sinilah kita perlu mengangkat peranan besar masyarakat. Apabila ramai bersuara, menegur, dan mendesak tindakan, tampak tindak balas pihak berautoriti bergerak laju.
Dalam laporan polis, paparan berkaitan program itu dikesan dimuat naik sekitar 11.13 pagi, dan siasatan polis dibuka. Pada hari yang sama, JAIS mengeluarkan kenyataan bahawa mereka memandang serius dan sedang menyiasat, termasuk lokasi sebenar, penganjur dan individu terlibat malah menyifatkan insiden itu sangat tidak beradab serta berpotensi menyebabkan Islam dipandang hina.
Ironinya, suara ummah mempercepatkan tindakan. Malah, ini bukan budaya bising tak tentu pasal. Ini budaya amar makruf nahi mungkar dalam bentuk paling asas untuk komuniti, bersama menjaga sempadan maruah, supaya yang salah tidak dinormalisasi.
Inilah ummah yang kita mahu: ada kehendak bersama
Ummah yang kita impikan bukan sekadar ramai di masjid pada musim tertentu, tetapi ummah yang ada kehendak bersama. Apabila maruah Islam dicabar di kawasan sendiri, masyarakat tidak berdiam diri. Kerana itu, kes Bukit Badong patut jadi ‘wake up call’ untuk semua komuniti. Jika ruang awam boleh dijadikan pentas aksi yang menghilangkan adab, maka generasi selepas kita akan mewarisi norma sosial yang rosak.
Tegas pada prinsip, beradab pada cara
Kita mahukan siasatan yang telus dan tindakan yang tegas kepada pelaku. Tetapi dalam masa yang sama, komuniti juga perlu menjaga adab: jangan ulang sebar video, elakkan membuat fitnah, jangan jadi penyambung aib tetapi terus tegur, lapor, dan desak tindakan tegas.
Kes ini mengajar satu benda yang mahal, apabila ummah ada kehendak bersama untuk memelihara maruah Islam, yang salah tidak sempat jadi budaya.
Khadijah Afifah binti Ahmad
Ketua Biro Iffah ISMA


