Apakah Faktor Pembinaan Karakter Anak Remaja?

Isu sekolah harian atau sekolah asrama sering dibahaskan seolah-olah masa depan anak hanya ditentukan oleh jenis sekolah. Hakikatnya, sekolah hanyalah satu komponen dalam ekosistem pendidikan, bukan penentu mutlak pembinaan karakter remaja.

Samada di sekolah asrama atau sekolah harian, kedua-duanya perlu bergerak dalam kerangka tujuan pendidikan yang lebih besar. Jika kita hanya fokus kepada akademik tanpa membina akhlak dan identiti remaja, maka di mana pun remaja itu belajar, masalah yang sama tetap akan muncul. 

Pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi proses membina manusia yang tahu siapa dirinya, ke mana hala tuju hidupnya dan apa peranannya dalam masyarakat.

Sekolah bukan kilang yang menghasilkan banyak A, tetapi sebuah tapak membina pemimpin ummah. Kecemerlangan akademik itu penting, namun tanpa karakter dan identiti, kecemerlangan itu tidak mampu bertahan dalam dunia sebenar.

Remaja tidak rosak secara tiba-tiba, tetapi mereka telah terbentuk melalui ekosistem yang gagal menyediakan bimbingan dan nilai yang jelas sejak awal lagi. Apabila orang dewasa tidak membentuk remaja, maka dunia yang tidak peduli tentang pembinaan insan akan mengambil alih peranan itu.

Sama ada di asrama dengan jadual yang tersusun, atau di sekolah harian yang lebih fleksibel, pembinaan remaja tidak boleh diserahkan kepada sekolah semata-mata. Keluarga, sekolah, masjid dan komuniti mesti bergerak serentak, bukan meletakkan semua harapan di bahu guru sahaja.

Namun, realitinya hari ini, rumah semakin sunyi daripada perbualan di meja makan, masjid tidak lagi menjadi pusat pembinaan remaja, dan komuniti pula saling tidak peduli sesama jiran. Apabila ruang-ruang ini kosong, maka remaja akan mencari identiti di dunia digital dan pengaruh negatif luar.

Akhirnya, perbahasan sekolah harian atau sekolah asrama menjadi kurang relevan jika ekosistem pembinaan remaja gagal dibina bersama. Justeru, yang lebih penting bukan di mana mereka belajar, tetapi bagaimana ekosistem membentuk mereka.

Jika kita gagal membina remaja hari ini, jangan terkejut apabila masalah remajalah yang membina masa depan negara kita nanti.

Mohammad Hafiz bin Johar
Pengarah Kelab Remaja ISMA (KRIM) Johor Bahru

Scroll to Top