Semalam anak-anak saya yang mengadu lapar ketika berpuasa. Wajah mereka jujur, perut yang berkeroncong itu bukan dibuat-buat. Dalam situasi begini, mudah untuk saya menjawab dengan ringkas, “Sabar, puasa kan?” Namun sebenarnya, di situlah ruang atau peluang pendidikan yang sangat penting yang tidak boleh dilepaskan.
Dalam disiplin ilmu hadis, para ulama membahaskan satu konsep penting yang dinamakan tahammul wa al-adā’. Tahammul bermaksud menanggung, menerima dan memikul ilmu dengan sabar sebelum layak menyampaikannya. Seorang perawi tidak boleh terus bercakap hanya kerana dia pernah mendengar sesuatu.
Dia mesti benar-benar menanggung ilmu itu, memahami lafaznya, menjaga ketepatannya dan memastikan amanah tersebut terpelihara dalam dirinya. Hanya selepas melalui proses itu barulah datang al-adā’, iaitu menyampaikan dengan tepat, jujur dan penuh tanggungjawab.
Saya terfikir, puasa juga bergerak atas prinsip yang sama. Sebelum kita boleh melaksanakan ibadah dengan sempurna, kita perlu belajar menanggungnya terlebih dahulu. Rasa lapar itu bukan gangguan kepada puasa, bahkan ia adalah inti latihan puasa itu sendiri. Anak yang menahan lapar sebenarnya sedang belajar mengawal kehendak diri, membezakan antara keperluan dan kemahuan, serta tunduk kepada perintah walaupun dalam keadaan tidak selesa. Itulah pendidikan sabar yang sebenar, sabar yang dirasai oleh tubuh, bukan sekadar difahami oleh akal.
Apabila azan maghrib berkumandang dan mereka berjaya sampai ke penghujung hari, di situlah makna al-adā’. Amanah puasa yang ditanggung sejak subuh telah ditunaikan dengan sempurna. Dalam ilmu hadis, tidak sah adā’ tanpa tahammul yang sahih. Begitu juga dalam kehidupan, tidak ada pelaksanaan tanggungjawab tanpa latihan menanggung kesulitan terlebih dahulu.
Barangkali sebab itu Ramadan hadir setiap tahun sebagai madrasah pembinaan dalaman. Anak yang hari ini mengadu lapar sebenarnya sedang dilatih menjadi manusia yang kelak mampu memikul amanah lebih besar seperti amanah ilmu, keluarga, masyarakat dan ummah. Maka mungkin jawapan kepada aduan mereka bukan sekadar “sabar ya,” tetapi penjelasan bahawa ini adalah latihan tahammul. Jika dia mampu bertahan hingga maghrib, dia telah menyempurnakan adā’. Rasa lapar itu bukan sekadar kosong di perut; ia sedang membina kekuatan dalam jiwa.
Adakah sistem tarbiah juga berjalan atas sunnah yang sama? Tarbiah ialah proses membina individu, dan proses itu sentiasa berperingkat serta bertahap. Bahkan, bukan lonjakan emosi sedetik, tetapi pembinaan yang tersusun. Seseorang yang melalui jalan tarbiah perlu melalui keperitan tahammul seperti menguruskan masa dengan disiplin, menunaikan senarai semak tugasan, membaca bahan-bahan tarbiah walaupun penat, menghadiri pertemuan walaupun sibuk, dan melatih diri konsisten dalam amal. Semua itu adalah proses menanggung.
Jika seseorang tidak sabar dan hanya mahu memilih apa yang disukai sahaja, atau hanya hadir pada perkara yang menghiburkan dan mudah, maka dia sebenarnya sedang memotong proses tahammul.
Sedangkan tanpa tahammul yang sempurna, tidak akan lahir al-adā’ yang matang. Dia mungkin mahu memikul tanggungjawab besar, tetapi belum melalui latihan dalaman yang melayakkan. Dia mungkin mahu menyampaikan dan memimpin, tetapi belum selesai menanggung dan membina diri.
Sama seperti puasa, tidak boleh terus kepada berbuka tanpa melalui panjang hari siangnya. Sama seperti ilmu hadis, tidak boleh terus kepada penyampaian tanpa proses penerimaan yang sahih. Begitulah juga tarbiah tidak ada tahap seterusnya tanpa kesediaan menanggung tahap semasa.
Rasa lapar itu mengajar anak tentang sabar. Disiplin tarbiah pula mengajar dewasa tentang konsisten. Kedua-duanya berpaksikan prinsip yang sama iaitu tahammul melahirkan al-adā’. Apa yang kita mampu tunaikan dengan baik hari ini adalah hasil daripada apa yang sanggup kita tanggung dengan sabar pada hari semalam.
Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas
Ketua Biro Tarbiyah
ISMA Cawangan Nilai


