Aplikasi makna al-Quran dalam kehidupan

Al-Quran bukan sekadar naskhah suci yang menghiasi rak buku atau ayat-ayat yang dialunkan dengan merdu dalam majlis rasmi, tetapi Kalamullah (kata-kata Allah) yang diturunkan sebagai kompas untuk memandu tamadun manusia. Proses penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) merupakan peristiwa agung yang berlaku dalam dua fasa utama.

Fasa Pertama Al-Quran diturunkan secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah (langit dunia) pada malam Lailatul Qadar. 

Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
(Surah al-Qadr: 1)

Manakala, fasa Kedua, al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat melalui Malaikat Jibril as selama kira-kira 23 tahun, sesuai dengan keperluan dan peristiwa yang berlaku. Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat dan tenang; dan Kami menurunkannya secara beransur-ansur.”
(Surah Al-Isra’: 106)

Daripada Abdullah Ibn ‘Abbas RA berkenaan firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam al-Qadr”, beliau berkata:

“Al-Quran diturunkan sekaligus sehingga diletakkan di Bait al-‘Izzah di langit dunia. Kemudian Jibril menurunkannya kepada Muhammad SAW secara beransur-ansur sebagai jawapan terhadap percakapan dan perbuatan manusia.” 

(Hadis riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawa’id [7/143])

Oleh itu, Allah SWT tidak memilih bulan Ramadan secara kebetulan kerana pada ketika itu, jiwa manusia berada dalam keadaan paling bersih melalui ibadah puasa, sekali gus menjadikan hati lebih bersedia menerima cahaya wahyu. 

Justeru, antara tujuan utama Al-Quran diturunkan kepada umat manusia adalah supaya ayat-ayatnya difahami, diamalkan dan diambil pengajaran daripadanya. 

Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud:

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak manfaatnya, supaya mereka memahami dengan teliti ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal mengambil peringatan.”

 (Surah Sad: 29)

Selain itu, penurunan al-Quran bertujuan membezakan antara yang hak (benar) dan yang batil (salah).

Seperti Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu serta membezakan antara yang benar dengan yang salah.” 

(Surah Al-Baqarah: 185)

Diriwayatkan bahawa Imam Al-Shafie terkenal sebagai tokoh yang sangat mencintai al-Quran. Apabila tiba bulan Ramadan, beliau menghentikan sementara pengajian hadis dan menumpukan sepenuh masa kepada tadarus Al-Quran 

(Kitab Ringkasan Siyar A’lam al-Nubala’)

Hal ini menunjukkan bahawa Ramadan adalah waktu terbaik untuk kita kembali “berinteraksi” secara lebih dekat dengan Kalamullah.

Secara zahirnya, umat Islam hari ini sangat menghormati al-Quran. Namun, terdapat fenomena yang membimbangkan, iaitu ‘pengabaian fungsi’. Misalnya, kita membaca teksnya, tetapi meminggirkan ajarannya dalam sistem sosial, ekonomi dan kenegaraan.

Allah SWT merakamkan kebimbangan besar Nabi SAW terhadap sikap umatnya pada hari akhirat kelak.

Seperti Firman Allah SWT : 

“Dan berkatalah Rasul: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu yang ditinggalkan.” 

(Surah Al-Furqan: 30)

Menurut Imam Ibn Kathir, ‘meninggalkan al-Quran’ bukan sekadar tidak membacanya, bahkan termasuk tidak memahami maknanya serta tidak mengamalkan kandungannya dalam kehidupan seharian.

Justeru, kita seharusnya mengutamakan kualiti (tadabbur) ketika membaca Al-Quran. Jangan hanya mengejar jumlah khatam tanpa berusaha memahami isi kandungannya.

Saidina Umar al-Khattab mempelajari Surah al-Baqarah selama 12 tahun, yang melihatkan beliau mengambil masa yang lama bukan sekadar menghafal, tetapi memahami dan mengamalkan setiap hukum serta ayat. Setelah selesai, beliau menyembelih seekor unta sebagai tanda kesyukuran atas pencapaian ilmu tersebut. 

(Kitab Al-Durr al-Manthur oleh Imam al-Suyuti)

Antara langkah praktikal yang boleh dimulakan hari ini adalah  membudayakan bacaan beberapa ayat setiap hari bersama terjemahannya, agar kita dapat memahami “pesanan” Allah SWT. Pada masa yang sama, kita disarankan supaya terus berusaha walaupun menghadapi kesukaran. Jangan mudah berputus asa jika bacaan masih tersekat-sekat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 

“Orang yang membaca Al-Quran dengan tersekat-sekat dan berasa sukar, baginya dua pahala.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Akhir sekali, al-Quran diturunkan bukan untuk membebankan, tetapi untuk membebaskan manusia daripada kegelapan. Marilah kita menjadikan Al-Quran sebagai teman yang hidup dalam setiap langkah kehidupan, bukan sekadar hiasan di rak yang berhabuk.

Ustaz Abdullah bin Hussen
Ahli ISMA Cawangan Bangi

Scroll to Top