Bagi umat Islam Malaysia, enakmen jenayah syariah di negeri-negeri memang telah memperuntukkan kesalahan dan hukuman membabitkan minuman memabukkan. Hal ini menunjukkan tiadanya istilah ‘private sphere’, di mana seseorang muslim itu bebas melibatkan diri dengan arak tanpa gangguan pihak berkuasa.
Namun bagi rakyat Malaysia secara umumnya yang mempunyai pelbagai latarbelakang agama dan budaya, konsep ‘private sphere’ ini dilihat wujud walaupun bukan secara total. Urusan arak masih boleh melibatkan campur tangan kerajaan melalui peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan penjualan arak dan memandu ketika mabuk. Namun, masyarakat bukan Islam masih bebas untuk meminum arak secara terbuka dan mengadakan parti-parti seperti Octoberfest tanpa sekatan undang-undang.
Berdasarkan kesan-kesan negatif daripada arak yang memberikan impak bukan sahaja kepada peminum malah masyarakat di sekeliling, arak ini tidak boleh lagi dilihat sebagai isu peribadi tetapi perlu dilihat sebagai isu sejagat yang memerlukan campur tangan pelbagai pihak baik kerajaan mahupun badan-badan sosial.
Arak adalah Isu Negara
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia berada di tempat kesepuluh dalam senarai pengambilan alkohol terbanyak dunia. Statistik yang dikeluarkan pertubuhan tersebut menunjukan rakyat malaysia membelanjakan lebih dari RM1.5 bilion untuk minuman beralkohol dengan purata tujuh liter per kapita (Tan, 2011). Menurut Code Blue, hampir separuh daripada peminum arak di Malaysia mengambil alkohol secara berlebihan. Hal ini menunjukkan betapa kuatnya budaya pengambilan arak yang telah meresap ke dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.
Kesan pegambilan arak secara berlebihan ini dapat dilihat dengan berlakunya pelbagai kes-kes seperti pemandu mabuk langgar penunggang motorsikal, jenayah pukul oleh warga asing, keganasan rumah tangga, jenayah rogol dan bunuh.
Oleh itu, undang-undang yang berkaitan dengan penjualan dan pengambilan arak sepatutnya diperkasakan lagi bagi membendung kejadian-kejadian seperti ini daripada berulang. Sebagai contoh, larangan meminum arak di tempat awam boleh dilaksanakan bagi mengurangkan risiko gangguan kepada orang awam. Larangan pengehadan masa penjualan bir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini juga merupakan satu inisiatif yang patut dicontohi.
Sebagaimana kita boleh bersepakat dalam isu nasional seperti sekatan pergerakan kerana keyakinan kita terhadap bahaya virus Covid-19, seharusnya kita juga boleh bersetuju dengan sekatan terhadap arak bagi mencegah banyak kesan negatif yang telah terbukti berlaku.
Tan. C (2011). Malaysia ranked world’s 10th largest consumer of alcohol. Newspaper article.
http://www.thestar.com.my/…/malaysia-ranked-worlds…/.
Codeblue (2020). Malaysians Binge Drink More Than British? Survey Claims.
https://codeblue.galencentre.org/…/malaysians-binge…/