1. Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-63 tahun rasa terpanggil pula nak menulis tentang sesuatu yang berkenaan sejarah negara. Kadang kala penting untuk kita lawati dan tatapi tinggalan sejarah sebagai mengetahui peristiwa penting yang pernah berlaku terhadap negara suatu ketika dulu. Namun, apabila melihat monumen-monumen sejarah yang tertera nama tokoh penjajah seperti Francis Light, dan sebagainya rasa hati seperti dihiris-hiris. Pedih. Secara peribadi saya jarang sekali rasa nak meninjau dan melawat tinggalan sejarah penjajah.
2. Apa yang kita tahu tentang Bukit St Paul? Adakah anda tahu bukit ini asalnya ialah tapak istana Kesultanan Melayu Melaka? Tetapi, selepas beberapa siri penjajahan bukit ini telah menjadi warisan legasi penjajah. Bermula tahun 1511 Melaka dijajah, Portugis telah membina gereja yang tertua di Malaysia ini di tapak istana Melaka lalu menjadi markaz mubaligh kristian Francis Xavier menyebarkan kristian di Asia Tenggara. Sehingga kini terdapat patung Francis Xavier di sana. Apabila Belanda pula menjajah mereka juga menjadikan tempat ini gereja mereka. Setelah itu, penjajah British pula menjadikan bukit itu tempat meletakkan bendera Union Jack.
3. Berkaitan dengan isu ini, telah tercetus satu polemik berkaitan cadangan pertukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Cadangan pertukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka melalui pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan kebudayaan dan Saintifik PBB( UNESCO ) telah mendapat tentangan daripada MCA Kota Melaka kerana mahu menjaga nama Melaka sebagai bandar raya bersejarah. Namun, tujuan PERZIM hanyalah untuk mengembalikan fakta sebenar.
4. Apakah fakta sebenar mengenai Bukit Melaka? Seorang penulis Portugis bernama Erdenia pernah menulis mengenai hill of Melaka. Termasuk juga yang tertera dalam buku Sulalatus Salatin. Jadi, sejarah Bukit Melaka telah tertulis dalam lembaran sejarah beratus-ratus tahun dahulu sekali gus selayaknya diangkat menggunakan nama yang asal. Semua pihak mesti meneliti isu ini daripada sudut positif tanpa mengira kaum dan agama , Alhamdullillah , ISMA melalui Ketua pemuda ISMA Melaka telah menjalankan Kempen Tukar Nama Asal Hapus Jejak Penjajah.
5. Saya ingin menyeru semua rakyat yang cinta akan negara sempena Sambutan Kemerdekaan ke -63 pada tahun ni yang bertemakan Malaysia Prihatin bersama-sama kita bersinergi menghapuskan jejak penjajah dan mengembalikan identiti asal negara kita pada tempatnya.
Juna Binti Mohd Khir
Isma Kuala Kangsar