KAJANG, 19 April – Semua umat Islam perlu bersama-sama mempertahan dan mengembalikan identiti bangsa Melayu dengan sejarah kegemilangannya yang terulung.
Atas dasar itu, Ketua Biro Komunikasi Korporat dan Multimedia (BKOM) Pusat, Haji Norzafry Norhalim berkata, apa sahaja isu Islam dan Melayu yang berlaku ketika ini haruslah diberi perhatian.
“Saya mengajak seluruh ahli komuniti untuk bersama-sama bersepakat memperjuangkan isu Islam dan Melayu.
“Ingatlah bangsa ini suatu ketika dahulu adalah suatu bangsa yang unggul dalam mengecapi pelbagai kemajuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Pusat Komuniti dan Dakwah ISMA Kajang diikuti dengan majlis berbuka puasa (Iftar) bersama masyarakat tempatan, Jumaat lalu.
Iftar Perdana ini turut dihadiri pengerusi dan ahli jawatankuasa surau, persatuan penduduk, badan komuniti dan juga pengurusan tertinggi Kolej Komuniti Hulu Langat.
Haji Zafry mengharapkan kewujudan pusat dakwah ISMA ini akan lebih mudah untuk memberi khidmat kepada penduduk Kajang dan sekitarnya.