Bagaimana Al-Quran Ajar Tentang Mencari Rezeki

Rezeki adalah satu konsep dalam menggerakkan kehidupan manusia yang disebut oleh Sheikh As-Sya’rawi sebagai harakatul-hayah atau kehidupan yang dinamik.

Makna mudahnya, dengan berlakunya pencarian rezeki maka wujudlah kehidupan manusia. Orang cari makan untuk hidup, maka berlaku perniagaan, wujud produk, syarikat, dan pekerjaan.

Tetapi urusan mencari rezeki ini seringkali menjadikan seseorang itu terikat kehidupannya dengan pihak yang mengurus rezekinya samada majikan atau pelanggannya.

Maka Al-Quran ajak kita perhati lebih luas tentang hakikat pencarian rezeki yang berkait rapat dengan konsep kehambaan.

Jika kita lihat bagaimana Al-Quran menyebut berkenaan pencarian rezeki :

فابتغوا عند الله الرزق

“Maka carilah disisi Allah itu rezeki “ ( Al-Ankabut : 17)

Ayat ini tidak disebut dengan ;

فابتغوا الرزق عند الله

Ini kerana meletakkan kedudukan kalimah zorof (عند) pada Allah sebelum kalimah rezeki dalam ayat itu, membawa kepada maksud pengkhususan pada Allah dalam urusan pencarian rezeki, seperti dalam kaedah tafsir & bahasa ;

(تقديم الظرف يشعر بالاختصاص)

“ Mendahulukan kalimah zorof membawa makna pengkhususan”

Justeru, maksud mendalam ayat ini adalah ; Hanya disisi Allah, kamu patut cari rezeki.

Ini memberi makna pencarian rezeki berkait dengan sandaran, kebergantungan, dan permintaan kepada sumber rezeki. Jangan meminta-minta rezeki melainkan hanya pada Allah s.w.t

Dalam satu riwayat Muslim, Auf ibn Malik menceritakan ketika mana Nabi s.a.w mengambil baiah (janji setia) dari sekelompok kaum, lalu baginda s.a.w menyebut :

أن لا يسألوا الناس شيئا

“Jangan meminta sesuatu dari manusia! “

Dalam satu riwayat Ahmad pula, dikisahkan bahawa tali unta Abu Bakar r.a terjatuh dari tangannya. Lalu beliau gerakkan untanya semula ke tempat tali itu terjatuh dan turun ambil .

Maka para sahabat yang bersama dengannya berkata : Mengapa tidak minta sahaja kami ambilkan?

Lalu Abu Bakar menyebut : Sesungguhnya nabi s.a.w berpesan padaku ;

أن لا أسأل الناس شيئا

“ Jangan sesekali aku meminta sesuatu dari manusia “

Larangan meminta dari sesuatu selain Allah s.w.t merujuk kepada tauhid meletakkan Allah s.w.t satu-satunya punca rezeki dan manfaat yang dinikmati oleh kita.

Sesuatu rezeki manfaat yang diperuntukkan oleh Allah s.w.t kepada kita, akan tetap sampai kepada kita. Tetapi, yang membezakannya adalah kepada siapa kita minta?

Dan apakah kesan permintaan itu kepada diri kita?

Permintaan itu hanya memberi kesan kepada siapa kita perhambakan diri, bukan kepada rezeki yang ingin dicari.

Apabila dia mencari-cari dan meminta rezeki itu dari Allah, maka dia menjadi hamba kepada-Nya. Jika dia mencari-cari dan meminta pada makhluk, maka jadilah dia hamba kepada makhluk tersebut.

Seseorang manusia itu mencari rezeki dan berurusan dengan manusia lain hanya sebagai wasilah (perantara), bukan sebagai sandaran dan punca.

Ustaz Abdur Rahman Raji
Penyelidik Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Scroll to Top