Antara sisi positif yang sering dilihat apabila Eropah bersifat terbuka dalam membuka sempadan mereka bagi mereka yang ingin mencari suaka (asylum).
Teringat pula hadith Nabi yang menyatakan sisi positif bangsa Rom yang disampaikan oleh Amru ibn Al ‘As, antara sifat berkualiti bangsa Rom adalah ” bersifat kasihan kepada orang miskin, yatim piatu dan golongan yang lemah.”
Eropah sekian lama menjadi “syurga” imigran dan pelarian. Pada tahun 2015, di Hungary, terdapat 1,800 permohonan suaka bagi setiap 100,000 rakyat Hungary. Di Sweden pula, 1,700 permohonan suaka bagi setiap 100,000 rakyat Sweden. Pada tahun yang sama, negara Eropah yang meluluskan paling ramai suaka iaitu lebih kurang 141,000 orang di German dan 33,000 orang di Sweden.
Apa yang berlaku pada 2015 adalah krisis peperangan mula memuncak di Syria dan krisis masih berterusan di Afghanistan dan Iraq. Ketiga-tiga negara Muslim yang dilanda krisis ini merupakan tiga negara tertinggi dari segi bilangan pelarian ke Eropah.
Eropah menerima kemasukan berjuta-juta pelarian sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Eropah sendiri. Susulan dari itu, berlaku perkembangan gerakan populis di negara-negara Eropah, yang mana salah satu tema yang serupa adalah mengenai melindungi kedaulatan negara Eropah dari lambakan imigran dan pelarian.
Dari negara yang menganggap diri mereka sebagai liberal dan demokrasi maju, rakyat Eropah semakin hari semakin melaungkan fahaman populisme.
Dalam tulisan ini , saya tidak akan campur dengan isu, pemain-pemain Barat yang menyebabkan pergolakan negara-negara Timur Tengah – mesti kita jawab nanti – patutlah pun mereka kena terima imigran dan pelarian. Tetapi saya akan fokus kepada reaksi rakyat marhaien Eropah berkenaan isu imigran dan pelarian dan sentimen yang diambil sebagai peluang oleh pemimpin gerakan populis di Eropah.
Dalam isu imigran dan pelarian, perkara-perkara yang menjadi keresahan masyarakat Eropah bukanlah kerana “xenofobic” semata-mata, tetapi mempunyai isu yang mereka anggap mengganggu-gugat hak asas mereka sebagai rakyat Eropah, antara isu yang diketengahkan:
1) Isu sumber ekonomi dan kekayaan negara – pekerja asing yang menimbulkan persaingan pasaran buruh dan pekerjaan, gaji minima yang tidak berganjak disebabkan oleh kesediaan pekerja asing dibayar dengan gaji lebih rendah, pekerja-pekerja kolar putih dengan kelayakan pendidikan bukan dari negara tersebut, penggunaan sumber kebajikan negara yang sepatutnya digunakan untuk rakyat, dll.
2) Isu meraikan kepelbagaian kaum dan budaya serta asimilasi dengan budaya tempatan – Rakyat Eropah mula merasakan imigran sebagai beban apabila imigran bersikap silo dalam aspek prasarana, ekonomi, bahasa, kebudayaan asal bangsa dan tidak mahu berasimulasi dengan budaya tempatan. “Diversity” and “multiculturalism” mula dianggap sebagai beban sosial dan ekonomi.
3) Hak mengundi dan hak mempengaruhi polisi dan dasar negara – Rakyat Eropah merasakan imigran yang diberi hak mengundi (kebiasaannya mereka telah menjadi rakyat atau penghuni tetap) sebagai mengubah demografi kehendak politik dan halatuju negara Eropah. Bahkan isu imigran dikatakan mengalihkan tumpuan sebenar matlamat politik yang ingin memberi kekuatan pada identiti dan jatidiri negara Eropah tersebut.
Isu imigran dan pelarian di Eropah semakin hari semakin bergelodak. Saban hari, parti politik populis semakin mendapat sambutan dan menyemarakkan semangat nasionalisme. Tambahan pula dengan pandemik Covid-19, menguatkan lagi hujah untuk menyemak semula polisi kemasukan imigran dan pelarian ke dalam negara-negara Eropah.
Bagaimanakah isu ini relevan untuk menjadi renungan rakyat Malaysia?
– Dengan perkembangan terkini yang mula mempersoalkan polisi moral negara, adakah sepatutnya meraikan PATI dan pelarian ataupun tidak? – Malaysia sebagai negara Islam, tidakkah patut kita simpati kepada saudara seaqidah sepertimana tuntutan Islam?
– Apakah had untuk menerima atau mengatakan tidak kepada imigran dan pelarian?
– Bagaimana menangani isu penyeludupan manusia?
– Bagaimana dengan kestabilan ekonomi, asimilasi budaya, jatidiri, masalah sosial, dan lain-lain bila berkait isu imigran dan pelarian? Bagaimana kita akan uruskan?
– Ada juga pihak yang menggunakan isu imigran dan pelarian sebagai batu loncatan politik untuk membawa agenda liberalisme dan “human rightism”.
Sememangnya isu pengurusan imigran dan pelarian adalah isu yang rumit. Semoga ada penyelesaian yang menyeluruh, perlu belajar dari pengalaman negara-negara lain seperti Eropah dan perlu menilai dengan halus niat yang “baik” dan “jahat” yang mempergunakan isu ini.