Baik Singapura, Baiklah Malaysia

Singapura Bumi bertuah…
1. Saya ke Singapura pada hujung minggu ini. Bertemu rakan-rakan dari kalangan aktivis Islam di sini. Negara yang dulunya sebahagian dari Tanah Melayu dan masih kekal semangat umatnya dengan sejarah asal usulnya walau negara ini sudah berubah dari segi statusnya.

2. Lawatan tidak rasmi, untuk mencari semangat dengan melihat saudara muslim di negara jiran. Permusafiran bertiga selama dua hari yang berbaloi. Menenangkan minda dan memberi sinar harapan terhadap masa depan umat.

3. Orang Islam di sini nampak begitu cerdik dan bijak mengambil peluang dalam membina generasi. Di dalam suasana yang mungkin lebih mencabar dari suasana kita di Malaysia, sebahagian pencapaian yang mereka capai lebih dari beberapa sudut dari apa yang kita capai di Malaysia.

4. Tidak mampu untuk dikongsikan kesemuanya di sini. Cukuplah saya kongsikan tiga yang utama yang saya perhatikan:
i. Masjid-masjid di sini diurus dengan begitu baik sekali. Bukan setakat kemakmuran solat berjemaah dan kelas pengajian sahaja … tetapi juga dari sudut sumbangan wakaf masyarakat setempat yang hidup dalam menghidupkan institusi masjid di sini.
Masjidnya bersih, kemas dan tersusun. Sebahagian masjid mengekalkan seni bina Melayu. Lihat sahaja Masjid Sultan dan Masjid Siglap sebagai contoh. Banyak yang dilakukan oleh pengasas dan jawatankuasa pemegang amanah masjid ini yang boleh ditiru. Cara mereka menguruskan wakaf umum, dakwah kepada golongan bertatoo dan sebagainya. Satu bulan Ramadhan sahaja mereka boleh dapat kutipan sumbangan awam 1.2 juta SGD. Cukup luar biasa.

Tidak pernah lagi saya jumpa masjid yang ada mesin kopi percuma, boleh minum 24 jam secara percuma; teh tarik, nescafe, cauppocino dan lain-lain. Kat Malaysia mungkin Coway percuma sahaja.

ii. Dalam keadaan orang Islam hanya 16% sahaja di sini, kadar kemasukan Islam meningkat dari hari ke hari. Kalau 4 tahun lepas saya berkunjung ke MCAS (Muslim Converts’ Association of Singapore) bilangan kemasukan ke agama Islam adalah sekitar 30 orang sebulan. Tetapi tahun ini bilangan kemasukan ke agama Islam meningkat adakalanya ke 50 orang sebulan. Dan ianya terus meningkat. 40% daripadanya adalah warga Singapura.

MCAS sendiri adalah badan yang ada bangunan yang agak besar di Geylang Serai. Petugas sepenuh masa seramai 38 orang dengan keahlian yang sudah mencecah ribuan muallaf. Beroperasi dengan pematuhan kepada undang-undang Singapura yang ketat dalam isu sensitiviti agama. Ruang yang ada digunakan sebaiknya untuk usaha dakwah. Banyak penerbitan yang telah mereka terbitkan.

Mereka berjaya mengeluarkan kad pengislaman yang sah seperti kad pengenalan Singapura dan diiktiraf di negara luar Singapura. Cukup membantu golongan muallaf untuk menguruskan keperluan mereka termasuk jika berlaku perselisihan tuntutan mayat antara keluarga asal mereka yang bukan Islam dan masyarakat Islam.
iii. Kejayaan aktivis Islam bekerjasama dengan aktivis Kristian dalam menghalang pengembangan budaya ellgeebeetee di Singapura.

Kerjasama strategik ini pada saya agak unik kerana mereka boleh mempengaruhi kumpulan dari agama lain untuk menghalang satu budaya songsang yang mungkin tidak sensitif kepada sebahagian penganut agama tersebut.

Cubaan demi cubaan dari sesetengah pihak untuk mengiktiraf perkahwinan sejenis hingga ke saat ini masih lagi tidak berjaya kerana usaha balas dari aktivis Islam dan Kristian yang bersatu ini. Moga ianya berterusan begitu hingga ke seterusnya.

5. Ada lagi yang lain seperti kejayaan tokoh Islam sebelum ini yang mengusahakan hak pendidikan percuma kepada orang Melayu Islam. Begitu juga bagaimana usaha mereka mendapatkan tapak tanah yang luas untuk binaan institusi bagi umat Islam di kawasan yang mahal.

6. Moga Singapura akan terus ke hadapan dalam mengukuhkan umat Islam. Kita adalah umat serumpun. Baik Singapura, baiklah kita juga di sini.

Pantai Temasik indah sekali
Pantai putih laut membiru
Abang lupa tidak sesekali
Sedang letih menahan rindu

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA
21 Ogos 2023

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat