Perbezaan asas pemikiran dalam hal pembangunan bandar itulah punca kepada pembentukan apa-apa polisi dan undang-undang yang kita lihat hanya memberikan penumpuan kepada aspek ekonomi dan unsur fizikal dan material semata-mata.
Bandar atau kota adalah identiti sesebuah tamadun. Ia adalah pusat dan nadi kehidupan masyarakat menjalani urusan harian mereka. Ia adalah identiti dan lambang kepada masyarakat bagi negara tersebut.
Penduduknya terdiri daripada keluarga, komuniti, ahli kariah surau dan masjid, kanak-kanak dan golongan muda, warga emas dan semua golongan dalam masyarakat. Jadi apa sahaja idea pembangunan tidak boleh mengabaikan teras utama kepada sesebuah bandar iaitu “ummah” yang tinggal di situ.
Pembangunan bandar mesti mengutamakan kesejahteraan manusia bagi menjamin keberkatan kepada sesebuah pembangunan fizikal.
Antara aspek utama adalah meletakkan maqasid syariah yang pertama sebagai asas pembangunan iaitu menjaga agama Islam. Bandar itu mesti membentuk persekitaran yang bebas maksiat dan mendekatkan sesiapa sahaja yang memasukinya kepada Allah SWT. Masjid dan surau adalah pusat kepada kemajuan dalam Islam (seruan Hayy ‘ala al-Falah). Bandar itu juga mesti subur dengan peranannya sebagai sebuah ummah melaksanakan dakwah, al-Amr bil makruf wa an-Nahyu an al-Munkar.
Bandar juga adalah penting dalam menjadikan ianya subur dengan budaya keilmuan dan pengetahuan. Bangunan-bangunan yang utama dalamnya adalah sekolah, pusat ilmu komuniti, makmal dan bengkel setempat yang melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran.
Rasulullah SAW sendiri memberikan visual bahawa apabila Islam itu berkuasa, keselamatan semua akan dijamin. Ini disebut dengan jelas dalam hadis berkaitan apabila Islam itu berkuasa; seseorang akan berjalan dari satu jarak yang jauh tanpa rasa takut. Inilah kesyumulan Islam dalam memastikan keseimbangan dalam sesebuah projek pembangunan itu ambil kira duniawi dan ukhrawi.
Bandar-bandar dan setiap inci tanah di negara ini ada sejarahnya yang panjang sebagai sebuah tanah air bagi Islam dan orang-orang Melayu sebagai bangsa yang berdaulat. Inilah cerita dan identiti setiap bandar. Ia adalah tempat yang mencerminkan budaya dan warisan bumi bertuah ini. Kita mendapati aspek ini telah diabaikan secara sengaja dan terancang hingga pudarnya Islam dan Melayu dari ‘peta identiti’ bandar-bandar di Malaysia.
Semua yang saya nyatakan di atas ibarat jauh panggang dari api. Kerana menteri dan mereka yang berkuasa tidak ada falsafah ini semua. Mereka ada asas yang berbeza. Dan atas dasar itulah mereka memperkenalkan sesuatu rang undang-undang, dasar dan polisi seperi RUU Pembangunan Semula Bandar yang kini sedang hangat dibicarakan oleh semua lapisan masyarakat.
Hari demi hari kita lihat hilangnnya bahasa Melayu dalam dunia komersial dan penggunaan harian. Bandar-bandar kini sukar untuk didiami oleh orang-orang Melayu kerana kos sara hidup, nilai, budaya setempat di situ telah berubah. Kondominium mewah bercambah-cambah sedangkan rakyat termiskin makin terpinggir. Bandar yang telah dicabut “roh” Islam dan hanya ada bangunan konkrit dan kaca. Masyarakat dan penduduk yang tinggal di situ bukan lagi penduduk komuniti asal; runtuhnya hubungan kejiranan dan hilang budaya dan adab tempatan. Dosa dan maksiat seolah-olah sudah diterima sebagai sebuah identiti bagi bandar yang maju.
Akhirnya, jika perkara dan hal seperti ini tidak ditangani secara tuntas dari akarnya, tiada lagi khazanah bersejarah yang kita warisi daripada generasi nenek moyang kita. Jika kita serius untuk bangunkan semula kekuatan negara ini, kita mesti lakukan perkara yang betul.
Cintanya kita kepada tanah air ini adalah fitrah paling suci dan asas paling kuat untuk kita terus mempertahankannya sebagai negara Islam dan bumi asal orang Melayu.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA


