Setiap kali bulan Ogos menjelma, hati kita pasti teringat akan tarikh bersejarah 31 Ogos – detik keramat yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Inilah hari kemerdekaan tanah air tercinta, hari yang terpahat kukuh dalam jiwa kita. Kita bergembira, kita berbangga, dan paling utama kita bersyukur atas segala nikmat dan rahmat yang Allah SWT kurniakan kepada negara kita.
Namun begitu, pernahkah kita benar-benar memahami apakah erti kemerdekaan itu?
Adakah ia sekadar bebas daripada penjajahan? Atau adakah ia membawa makna yang jauh lebih mendalam?
Kemerdekaan bukan sekadar laungan bebas daripada penjajah, tetapi ia adalah amanah besar yang Allah SWT titipkan kepada umat ini. Amanah untuk kita memahami tujuan sebenar penciptaan manusia, sebagai hamba yang tunduk patuh kepada-Nya, serta khalifah yang memakmurkan bumi dengan keadilan, kebaikan, dan kesejahteraan. Dan juga kebebasan kita menjadi penolong agama Allah dalam menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini.
Hebatnya kita sebelum dijajah
Sebelum datangnya penjajah, bangsa kita sebenarnya telah pun hebat dan mempunyai tamadun yang gemilang. Kita memiliki sistem pemerintahan yang tersusun dengan raja dan sultan sebagai tonggak kepimpinan, dibantu pembesar serta ulama yang memelihara syariat Islam. Undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka menjadi bukti bahawa bangsa kita sudah memiliki sistem perundangan yang lengkap dan maju.
Dari segi perdagangan, pelabuhan-pelabuhan kita seperti Melaka, Aceh, dan Pasai menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang terkenal. Pedagang dari Arab, India, China, dan Eropah singgah di sini kerana kemakmuran dan keadilan sistem pentadbiran yang diamalkan.
Masyarakat kita ketika itu juga hidup dalam suasana penuh nilai, adab, dan akhlak. Islam menjadi asas kehidupan – memandu cara pemerintahan, ekonomi, pendidikan, dan hubungan sesama manusia. Bahasa Melayu pula digunakan sebagai lingua franca, membuktikan ketinggian budaya bangsa kita yang dihormati di mata dunia.
Hakikatnya kita pernah berdiri megah sebagai bangsa yang bermaruah, berdaulat, dan dihormati jauh sebelum datangnya penjajahan.
Kesan penjajahan
Penjajahan telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada negara kita. Dari sudut politik, kedaulatan tanah air dirampas apabila sistem pemerintahan tempatan dihapuskan dan digantikan dengan sistem pentadbiran Barat. Sultan dan raja kehilangan kuasa sebenar, manakala negara ditadbir mengikut kepentingan penjajah.
Dari aspek ekonomi, hasil bumi kita dieksploitasi dengan rakus. Tanah subur dijadikan ladang untuk kepentingan eksport, sementara rakyat tempatan hanya menjadi buruh murah. Dasar pecah dan perintah pula mewujudkan jurang antara kaum, orang Melayu tertumpu di desa, orang Cina di lombong, manakala orang India di ladang.
Dari segi sosial, penjajahan memecahbelahkan masyarakat dan meninggalkan kesan kemiskinan yang berpanjangan. Budaya dan bahasa tempatan semakin terpinggir, diganti dengan pengaruh Barat yang meresap masuk dalam kehidupan seharian.
Manakala dari sudut agama dan pendidikan, pendidikan sekular diperkenalkan hingga meminggirkan pendidikan Islam tradisional. Ajaran Islam tidak lagi diberi peranan dalam pentadbiran dan undang-undang negara. Generasi muda pula mula terpengaruh dengan cara hidup Barat yang jauh daripada nilai keimanan dan akhlak.
Kesimpulannya, penjajahan bukan sahaja merampas kedaulatan tanah air, tetapi juga merosakkan sistem sosial, ekonomi, dan identiti umat. Inilah hakikat yang harus kita insafi, agar kemerdekaan yang kita kecapi hari ini tidak disia-siakan dan terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Adakah kita masih dijajah
Jika dahulu penjajahan berlaku secara nyata, tanah kita dirampas, kuasa pemerintahan diambil, hasil bumi dikaut. Hari ini, walaupun kita sudah merdeka secara zahir, hakikatnya bentuk penjajahan itu masih wujud tetapi dalam rupa yang berbeza.
Kita masih berdepan dengan penjajahan minda dan budaya – apabila pemikiran kita dijajah oleh cara hidup Barat, hiburan yang melalaikan, serta gaya hidup yang menjauhkan kita daripada agama. Kita masih dijajah oleh ekonomi dan teknologi, apabila terlalu bergantung kepada kuasa besar dunia. Kita juga masih dijajah oleh sikap diri sendiri, jika kita lemah, malas berusaha, hilang jati diri, dan tidak lagi berpegang kepada nilai agama serta perpaduan bangsa.
Maka, merdeka yang sebenar bukan sekadar bebas daripada kuasa asing, tetapi bebas daripada segala bentuk penjajahan moden yang merosakkan iman, akhlak, dan peribadi umat.
Apakah tindakan kita
Sesudah kita mengenang sejarah silam dan menyelami hakikat sebenar kemerdekaan, tibalah persoalan yang lebih besar untuk direnungkan: apakah peranan dan tindakan kita sebagai pewaris kemerdekaan ini?
Pertama, kita mesti bermula dengan diri sendiri. Tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh, dalami agama dengan sepenuh hati, dan kuatkanlah iman sebagai benteng kehidupan. Jadilah insan yang taat kepada Allah SWT, berakhlak mulia, serta memberi manfaat kepada bangsa dan negara.
Kedua, kita perlu membangunkan keluarga kita. Didiklah mereka dengan nilai iman, semaikan jati diri yang kukuh, dan tanamkan sifat kepemimpinan dalam setiap jiwa. Dari keluarga yang beriman dan berakhlak, akan lahir generasi hebat yang mampu memimpin umat dengan wibawa.
Ketiga, kita harus menggerakkan komuniti kita. Marilah bersama-sama membina masyarakat yang mencintai Allah SWT, saling memperingatkan dalam kebaikan, serta berpadu tenaga untuk mengukuhkan ekonomi umat. Tegakkanlah syariat Allah di bumi bertuah ini, dan bersama-sama kita bangunkan kembali peradaban Islam yang gemilang di pentas dunia.
Akhirnya, kemerdekaan yang sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi apabila kita mampu menegakkan syariat Allah SWT tanpa dihalang atau digugat. Inilah erti kebebasan sejati – bebas daripada cengkaman musuh-musuh Islam yang bersama iblis sentiasa berusaha menyesatkan manusia, menuju kepada kemurkaan Allah.
Tekad bangunkan negara
Kemerdekaan adalah nikmat yang amat besar. Ia lahir daripada pengorbanan darah, air mata, dan jiwa para pejuang. Hari ini, tugas kita adalah untuk mempertahankan dan mengisi kemerdekaan itu dengan iman, ilmu, perpaduan, dan pengorbanan.
Marilah kita jadikan kemerdekaan bukan sekadar laungan semangat, tetapi tekad untuk terus membangunkan agama, bangsa, dan negara. Semoga Malaysia terus kekal merdeka, aman, makmur, berdaulat, dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA


