Tanggal 10 Oktober 2024 yang lalu, tragedi banjir kembali melanda sebahagian daerah Alor Setar, dan daerah-daerah sekitarnya, akibat daripada hujan lebat yang berterusan sehingga mengakibatkan air Sungai Kedah, Sungai Anak Bukit dan Sungai Padang Terap melimpahi tebing.
Sayu hati melihat para penduduk kampung yang terkesan banjir. Dalam tempoh dua bulan ini sahaja, ada yang terkesan dengan banjir sehingga 3 kali. Lelah mencuci rumah, penat berpindah ke PPS.
Berhijrah ke kawasan baharu yang jauh dari musibah banjir atau nak pertinggikan rumah supaya tidak dinaiki air; ibarat angan berlalu, faham tertumbuk. Kerugian sedia ada pun belum lagi terhitung.
Coretan ringkas ini ingin berkongsi hikmah-hikmah yang mungkin boleh para pembaca peroleh daripada tragedi dan musibah bencana alam ini.
Allah pengatur urusan alam.
Tanggungjawab manusia sebagai khalifah ialah memakmurkan bumi. Ia merangkumi perintah tunduk kepada Allah yang satu bukan sahaja dalam aspek ibadah dan tidak saling menumpahkan darah, tetapi juga dalam menjaga alam sekitar.
Firman Allah s.w.t.
“Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar dan benarlah perkataannya pada waktu Dia mengatakan “Jadi lalu jadilah” (Al-An’am 6:73).
Allah s.w.t. mencipta dan mentadbir alam ini dengan meletakkan fungsi serta tugasan khusus kepada segala yang dicipta olehNya. Unsur-unsur alam ini termasuklah apa yang disebutkan sebagai sumber asli seperti tanah, tumbuhan dan haiwan; sumber mineral dan galian; juga lain-lainya seperti hujan, salji, angin dan sebagainya.
Alam dijadikan khusus sebagai tempat tinggal, sumber asas kehidupan manusia dan tempat untuk dimakmurkan sebagai manifestasi ‘ubudiyah kepada Allah.
“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)” (Al-Qamar 54:49).
Nikmat atau ujian
Hujan, dan ada juga lain-lain elemen alam, telah diajar oleh Islam, yang boleh diturunkan Allah s.w.t. kepada manusia sama ada sebagai nikmat ataupun ujian.
“Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata. Dan (ingatlah) bahawa Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji.” (Al-Syura, 28).
“Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Demikian itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.” (Al-A’raf, 84).
Hujan mungkin menjadi musibah kepada sekelompok manusia, namun hujan yang sama juga adalah nikmat kepada sekelompok manusia yang lain; di mana tanaman-tanaman tersiram subur, cuaca menjadi sejuk dan sebagainya.
Tangungjawab pemimpin.
Peranan khalifah bukan sahaja menegakkan Islam di muka bumi dari aspek ubudiyah dan ketundukan kepada Allah s.w.t. semata-mata, bahkan termasuk mengurus alam sekitar supaya manusia mendapat manfaat yang besar, serta menerima impak negatif yang minima.
“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya dia melihat apa yang kamu lakukan” (Riwayat Muslim)
Dalam konteks musibah banjir, pemimpin wajar mengambil pendekatan segera dan jangka panjang yang dapat menghilangkan sengsara rakyat.
Solusi seperti pembinaan tebatan banjir, penyediaan alur limpah, menambahbaik sistem saliran dan sebagainya perlu menjadi langkah berkeutamaan segera.
Solusi yang diambil pula mestilah mengambilkira dapatan kajian saintifik, seperti impak tren perubahan iklim, el-nino/ la-nina dalam tempoh 20 hingga 50 tahun akan datang, agar perbelanjaan yang dikeluarkan setimpal dan memberi manfaat selama-lamanya.
Berdamai dengan takdir.
Sebagai seorang muslim dan mukmin yang terkesan dengan musibah banjir, berdoalah supaya musibah yang melanda ini menggugurkan dosa-dosa yang telah dilakukan, dan juga sebagai gantian balasan di akhirat.
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Fakhruddin Afif Fauzi
Ketua Biro Dakwah ISMA Alor Setar