BANGI, 18 Feb – Cadangan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk mansuh 930. 93 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara mendapat bantahan daripada Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Dr. Hj. Zainur Rashid Zainuddin yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tamak haloba.
Ujarnya hutan simpan tersebut harus terus dipelihara untuk kepentingan awam dan pemeliharaan alam sekitar.
“Janganlah bersikap tamak haloba, semua hutan simpan hendak dijarah bagi memenuhi poket kapitalis,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya lagi, kemusnahan hutan akan membawa risiko bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat dan tadahan air bersih berkurangan.
Malahan, kehidupan orang Asli akan terancam kerana sumber hidup mereka banyak bergantung kepada hutan dan risiko kepupusan spesis binatang tertentu.
Tambahnya lagi, Malaysia tidak ketandusan tanah untuk dilakukan projek pembangunan sekiranya perlu.
Mengikut notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada 5 Februari lalu, kawasan tersebut akan digunakan bagi projek pembangunan bercampur .
Selain itu juga, bagi orang awam yang mempunyai kepentingan terhadap cadangan tersebut boleh menghantarkan bantahan kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.