Tampoi, 14 Feb – Berazam untuk terus menyantuni masyarakat melalui inisiatif Tabung Kasih Ummah yang dilancarkan Januari lalu, Isma Johor Bahru hari ini berkesempatan menziarahi dua buah keluarga yang merupakan mangsa kebakaran melibatkan 2 buah rumah di Kampung Pasir, Tampoi.
Isma Johor Bahru terpanggil untuk turut sama melihat sendiri kesan kebakaran yang berlaku disamping dapat mendengar sendiri keluhan dan kesusahan yang dialami 2 keluarga terbabit.
YDP Isma Johor Bahru, Muzhaffar Bin Mohd Zaki yang turun sendiri ke kampung tersebut berpeluang menghulurkan sedikit sumbangan kepada keluarga Encik Anuar Bin Mohamad dan keluarga Encik Abdul Hamid Bin Wahab yang dapat dikumpulkan melalui inisiatif Tabung Kasih Ummah.
Kesan kebakaran yang berlaku masih jelas dapat dilihat kerana mangsa yang terlibat masih belum dapat membersihkan rumah dan hanya menumpang teduh di rumah ahli keluarga dan surau berdekatan. Turut hadir dalam sesi tersebut adalah Mohd Ikram Bin Saadan, Pengarah Kelab Remaja Isma Johor Bahru.
Isma Johor Bahru menzahirkan rasa sedih dan turut berdukacita atas musibah yang berlaku kepada keluarga terbabit yang juga turut terkesan dengan musibah banjir yang juga melanda kawasan tersebut pada bulan November tahun lalu.
Kepada mereka yang ingin turut menyumbang melalui inisiatif ini boleh terus menyumbang melalui akaun CIMB : 8603263423 atas nama ISMA DT SERVICES.