Bendera Adalah Lambang Kedaulatan Negara Dan Simbol Sebuah Perjuangan Yang Panjang.

Insiden yang berulang kali berlaku berkaitan dengan Jalur Gemilang menimbulkan satu persoalan besar, benarkah kita bangga dan menghayati identiti negara ini?

Kesalahan-kesalahan yang dilakukan ini menunjukkan secara jelas kelunturan jati diri dalam kalangan sebahagian masyarakat yang terlibat dalam melakukan penghinaan terhadap bendera Malaysia. Bendera adalah lambang kedaulatan negara dan simbol sebuah perjuangan yang panjang.

Setiap jalur, bucu bintang dan bulan sabit mempunyai makna yang mulia iaitu warisan perjuangan darah dan air mata para pejuang terdahulu menolak penjajahan dan mempertahankan maruah bangsa dan agama Islam sebagai teras identiti negara.

Sekali lagi boleh dinyatakan insiden-insiden ini tidak boleh dianggap sebagai satu kecuaian, ianya telah mencerminkan betapa sebahagian daripada masyarakat semakin jauh terpesong dari asal usul dan nilai pembentukan negara Malaysia ini.

Kita melihat sudah menjadi satu keutamaan (awlawiyat) untuk melakukan kerja dan usaha untuk memberikan kefahaman dan juga mempertahankan lambang dan identiti negara mesti dilakukan secara berterusan di semua lapisan masyarakat.

Kita mahu generasi sekarang benar-benar mengenali asal usul negara ini yang bukannya hanya bermula selepas 1957. Perjuangan di negara ini telah bermula lama dan dikenali sebagai Tanah Melayu yang bedaulat, merdeka dan berpaksikan kepada Islam. Pelbagai pencapaian dan kegemilangan telah pun dicapai oleh negara ini sekian lama dahulu.

Kini, kita semua dituntut untuk meneruskan perjuangan mereka dalam memastikan kita benar-benar bebas dalam melaksanakan kehendak sebagai sebuah negara yang merdeka untuk terus menjadi kuat dan maju.

Jika ianya tidak dilakukan, tidak mustahil kecairan identiti akan semakin teruk dan negara ini akan hilang acuannya yang tersendiri dan digantikan dengan ideologi dan pemikiran yang bertentangan dengan Islam dan Melayu. Sebuah negara yang keliru identitinya tidak akan mampu berdiri megah sebagai sebuah negara yang dihormati dan digeruni oleh kawan dan lawan.

‘Kenali Asal, Warisi Perjuangan’

Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA

Scroll to Top