Mendidik anak-anak untuk hadir dan imarahkan masjid adalah sangat dituntut dalam agama. Mereka perlu dibiasakan dengan solat berjemaah di masjid terutamanya anak lelaki. Cuma yang menjadi cabaran adalah apabila mereka datang ke masjid, niatnya ingin main dengan kawan-kawan, bukan kerana mahu beribadah.
Bukan setakat di luar, malahan di dalam masjid pun ada yang berlari-lari. Suasana menjadi bising. Sembang pula mengalahkan orang dewasa. Keadaan ini menyebabkan para jemaah ada yang rasa kurang selesa.
Begitulah karenah mereka. Ingin marah nanti merajuk pula. Tak mahu datang dah ke masjid. Oleh itu, setiap ahli masyarakat perlu berperanan untuk memastikan jiwa anak-anak dekat dengan masjid dan pada masa yang sama, mereka masih lagi menjaga adab-adab ketika berada dalam rumah Allah.
Masjid Raudhatun Nahrain cuba menyantuni mereka dengan sebaiknya. Maka, lahirlah idea Sembang Santai Jemaah Cilik melalui Biro Muslimat masjid. Masa yang diambil adalah sekitar 20-30 minit selepas solat maghrib. Antara perkara yang dibualkan adalah adab ketika di masjid dan rasa sayang untuk hadir ke masjid. Antara yang menyumbang memberi nasihat kepada anak-anak ini adalah mantan guru besar dan para imam, termasuk saya juga.
Begitulah. Membina generasi pemimpin masa depan bukanlah mudah. Kena terus bersabar mendidik mereka. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya Tarbiyah al-Aulad telah menyebutkan tiga institusi penting untuk kanak-kanak iaitu:
- Rumah: Iaitu tempat pembangunan fizikal, adab, dan akhlak bagi kanak-kanak.
- Masjid: Selaku tempat pembangunan kerohanian bagi kanak-kanak.
- Sekolah: Yang merupakan tempat pembangunan akal fikiran, adab, serta pemikiran kanak-kanak.
Santunilah anak-anak kecil dan saling menghormatilah sesama yang tua. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
Maksudnya: Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari kalangan kami.
Riwayat al-Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad (358)
Anak-anak kita adalah aset kepada agenda Islam. Bagi menjadikan mereka satu sosok tubuh remaja Islam yang punyai jati diri yang kuat memerlukan proses yang panjang.
Jadi proses inilah yang penting dan perlu teliti dari segenap aspek. Sungguhpun punya cabaran, tetaplah kita sebagai anggota masyarakat mencari peluang dan ruang untuk membentuk mereka dan menggunakan masjid dan surau sebagai satu titik mula.
Seperti saranan Presiden ISMA dalam Mesyuarat Agung yang lepas, menyeru kepada semua ahli untuk memberikan perhatian yang serius kepada pembinaan remaja dalam komuniti masing-masing.
Dr. Rozaini Othman
YDP ISMA Seberang Perai Utara