Biarlah orang politik terus bergaduh, umat perlu terus membina kekuatan sebenar

Perbahasan parlimen baru-baru ini telah mengundang beberapa persoalan yang berlegar di dalam benak pemikiran setengah kelompok, yang masih memberikan pergantungan kepada para politikus yang ada.

Antara yang mereka persoalkan adalah sejauhmana PN akan benar-benar membawa aspirasi umat Islam dan orang Melayu dalam memartabatkan kedudukannya di tanah air ini.

Ini logika yang muncul kerana pelantikan speaker yang secara jelas dengan rekod yang tidak mesra dengan agenda Islam dan persekongkolannya dengan anasir-anasir yang mempromosi idea Barat yang hakikatnya merosakkan jatidiri dan pemikiran anak bangsa pada masa kini.

Termasuk dalam persoalan kita juga adalah isu perjuangan bagi mengiktiraf UEC yang dijuarai oleh parti Cina hatta daripada kerajaan sendiri, isu kes Allahyarham Adib yang tidak memihak kepada keluarganya dan berbagai lagi pertikaian yang mungkin timbul dalam benak pemikiran segelintir daripada kita.

Kita perlu sedar bahawa itulah kerja orang politik. Mereka ada kepentingan yang perlu dijaga, kerusi yang perlu dipertahankan dan sokongan yang perlu diraih. Setiap langkah mereka adalah hasil congakan yang hasil akhirnya mereka mahukan adalah kestabilan kerusi mereka di tampuk pemerintahan.

Untuk tujuan itu mereka akan bergolok bergadai dengan segala cara yang ada. Pada satu masa mereka gunakan sentimen Melayu bagi meraih sokongan orang Melayu, masa yang lain pula mereka cuba dapatkan sokongan orang Cina dengan pengiktirafan UEC, pada masa yang lain pula mereka akan cuba jinakkan pihak-pihak liberal agar mendapat sokongannya dengan cara melantik ‘wakil’ mereka di tempat-tempat utama.

Itulah lumrah permainan politik yang ada pada hari ini.

Apakah kestabilan akan berlaku sekiranya parlimen dibubarkan dan PRU diadakan sekali lagi ?

Jawapannya masih sukar nak dijangka kerana keadaan hari ini yang menjerumuskan kita dalam kancah politiking yang tidak berkesudahan.

Saya mahu sarankan agar umat Islam kembali berpegang kepada saranan utama Al-Quran iaitu berpegang teguh dengan tali Allah dan kekuatan persaudaraan sesama kita. Itulah talian hayat paling ampuh yang akan membawa umat Islam keluar daripada kemelut yang tidak berkesudahan.

Kita perlu melihat politik hari ini di luar kerangka politik kepartian dan melihatnya dalam kerangka satu ummah yang sedang membina kekuatan dan kemajuannya.

Setiap congakan untung rugi perlu dilihat bukan dalam kerangka keuntungan parti tertentu, tetapi melihatnya dalam kerangka sebuah umat yang menjadikan asas kesatuan mereka sebagai asas kemajuan.

Mungkin ada di kalangan kita yang merasakan ia tidak praktikal pada hari ini di mana setiap pihak mempunyai komitmen kepartian yang tersendiri.

Saya jawab, apa yang berlaku hari ini juga merupakan satu perkara yang tidak praktikal pada suatu masa dahulu di mana pusat kuasa dipandu oleh sistem kesultanan yang stabil dan tidak wujud pula pakatan pembangkang rasmi yang siang malam bekerja untuk menjatuhkan kerajaan.

Sistem demokrasi pada hari ini tidak sepatutnya dilihat sebagai satu sistem daripada Tuhan yang suci dan mutlak. Ia hanyalah sebuah alat dalam mengatur sesebuah sistem pemerintahan. Sekiranya kita terperangkap dalam permainan ini maka sampai bila-bila kita tidak akan maju kerana kita sentiasa dipergunakan oleh pihak yang berada di luar sistem ini dan membolak-balikkan bidak-bidaknya bagi menjamin kepentingannya.

Sekiranya kita masih duduk dalam takuk yang lama, kita akan sentiasa dipolitikkan oleh para kapitalis, taikun-taikun yang kaya, bagi menjamin kedudukan mereka, yang hakikatnya mereka tidak pernah pun berangan nak jadi ahli politik.

Apabila kita sedar bahawa pergaduhan siang malam ini tidak bermakna, kita perlu keluar daripada kitaran itu dan membina semula kekuatan kita yang hakiki.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat