Jangan cetuskan api perkauman apabila kuil dirobohkan

Isu Kuil Sri Madurai Veeran bukanlah baru di Alor Setar. Kedudukannya di atas tanah rizab jalan dan menghalang lalulintas di kawasan stesen keretapi Alor Setar wajar diberikan perhatian dan tindakan demi kepentingan masyarakat awam tanpa mengira bangsa dan agama.

Sejak Pakatan Harapan (PH) memimpin lagi, Pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah pun mengambil tindakan tegas dengan membersihkan kawasan berkenaan setelah beberapa kali amaran diberikan kepada pihak kuil untuk mengubah lokasi kuil tersebut bermula tahun lepas.

Maka tindakan ini adalah wajar bahkan perlu memandangkan kuil tersebut masih kecil dan lokasinya yang tidak strategik.

Cuma dalam kemelot ini, tindakan pemimpin kaum India sendiri amat mendukacitakan, apabila mereka bertindak menghasut kaum sendiri untuk membelakangkan undang-undang.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy sejak awal lagi telah masuk campur dan menghasut dengan memberikan gambaran yang salah terhadap isu ini.

Dalam beberapa kenyataan, beliau telah mengubah naratif daripada sebuah kuil yang dibina tanpa kelulusan kepada beberapa isu sampingan yang lain.

Bahkan beliau cuba untuk meniup sentimen agama dan bangsa dalam kes ini. Hal ini adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin yang berilmu.

Sepatutnya pemimpin kaum India ini sudah lebih arif tentang undang-undang berkaitan dan harus jujur mengakui bahawa tindakan kerajaan negeri adalah bertepatan dengan garis panduan sedia ada.

Malangnya beliau mengambil singkap angkuh dan tidak endah bahkan berterusan menghasut masyarakat dengan menuduh tindakan ini adalah salah sedangkan perkara ni boleh memberikan kesan yang besar kepada masyarakat.

Kita masih ingat tentang kes rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 pada tahun 2018 yang telah mengorbankan wira negara Mohd Adib.

Sepatutnya peristiwa itu cukup menjadi pengajaran untuk semua agama mengambil langkah proaktif dengan memastikan tempat ibadah sedia ada adalah sah pemilikan daripada sudut undang-undang bukan berterusan memaksa untuk kerajaan mengiktiraf sesuatu yang tidak hak.

Meletakkan isu ini sebagai satu isu rasisme adalah sesuatu yang dangkal. Rumah ibadah semua agama yang ada di Malaysia tertakluk kepada undang-undang setempat termasuk Masjid.

Tidak ada yang boleh dibina sesuka hati dengan mengenepikan undang-undang. Bahkan ada sebahagian masjid yang terpaksa diruntuhkan atau dimodifikasi kerana dibina di tempat yang tidak sesuai.

Perkara ini tidak susah untuk difahami bagi mereka yang hidup dengan menghormati undang-undang negara bukan berterusan menghasut dan berusaha mengubah hakikat sejarah dan perlembagaan negara. Bak kata pepatah Air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut.

Justeru, kita semua harus bersikap lebih objektif dan fokus terhadap isu kuil ini. Jangan mengambil kesempatan untuk membangkitkan semangat perkauman yang tidak berasas.

 

 Adli Azimi bin Abdul Rahman
 Naib Yang Dipertua ISMA Alor Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat