KESEMPURNAAN TAWAKKAL SEPERTI BURUNG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Suatu hari Imam Malik RA berkata ; Rezeki Allah SWT datang tanpa sebab. Ia berdasarkan kepada hadis : “Kalaulah engkau benar-benar bertawakkal kepada Allah, sudah pasti Dia akan memberikanmu rezeki sepertimana Dia memberi makan kepada burung. Burung-burung itu berpagi-pagian dalam keadaan berlapar, dan pulang dalam keadaan kenyang”.

Lalu Imam Syafie RA membalas : Kalaulah bukan kerana mereka keluar mencari makan sudah pasti mereka tidak akan mendapat rezeki.

Maka Imam Syafie RA mahu membuktikan keyakinannya kepada gurunya, dan beliau mendapati ada seorang pakcik tua sedang membawa seplastik kurma yang berat.

Lalu Imam Syafie pun menolongnya dengan mengangkat kurma itu hingga sampai ke destinasi yang dikehendaki. Apabila tiba, pakcik itu memberinya sedikit daripada kurma yang ada sebagai tanda berterima kasih.

Pada ketika itu Imam Syafie RHM pun merasa gembira kerana dapat membuktikan bahawa keyakinannya adalah tepat, bahawa rezeki itu mesti datang dengan usaha. Yakni kalaulah dia tidak menolong pakcik tua itu tadi, sudah pasti dia tidak akan dapat kurma itu.

Lalu beliau bersegera menuju ke arah gurunya lalu meletakkan kurma itu tadi di hadapan gurunya dan menceritakan peristiwa itu. Imam Malik pula hanya tersenyum lantas memakan kurma di hadapannya. Imam Malik berkata : “Dan engkaulah pula yang membawakan kepadaku rezekiku ini, tanpa sebarang usaha daripadaku”.

Kedua-dua imam mempunyai sudut pandangan yang berbeza dalam satu isu yang sama. Hakikatnya ia tidak pun bertentangan, ia hanyalah berbeza dari sudut pandangan.

Ia boleh difahami dalam dua sudut keterangan :

Pertama : Imam Malik tidak menafikan bahawa wujudnya rezeki yang datang dengan sebab, tetapi beliau hanya mahu mensabitkan bahawa di sana ada jenis-jenis rezeki yang juga diberikan kepada makhluk tanpa sebarang sebab dari mereka, ia adalah semata-mata kurniaan daripada Allah SWT. Adapun Imam Syafie melihat satu jenis rezeki iaitu rezeki yang datang dengan usaha. Jadi penilaian mereka berbeza.

Kedua : Imam Malik melihat rezeki dari Allah SWT yang melaksanakan sesuatu dengan ‘kemahuan’-Nya dan tidak terikat dengan sebab dan musabbab. Adapun Imam Syafie melihat bahawa rezeki itu dengan usaha kerana melihat ia sebagai salah satu daripada sunnah kauniyah (ketetapan alam) bahawa setiap perkara ada sebab dan musabbabnya.

Dalam bahasa tasawwuf, boleh dikatakan Imam Malik melihat perkara itu secara ‘tahaqquq’ yakni secara hakikat sesuatu perkara, bahawa ketetapan dan kemahuan Allah SWT tidak tertakluk kepada perkara-perkara lain. Adapun Imam Syafie melihat perkara itu secara ‘tasabbub’ yakni beliau mengambil kira sebab dan musabbab dalam peraturan alam.

Sudah pasti setiap sudut pandangan ada kekuatannya yang tersendiri. Ia tidak pula menafikan satu sama lain, bukan juga seruan untuk kita berpeluk tubuh dan menanti apa sahaja yang datang. Bahkan ia hanyalah suatu cara bagaimana seorang guru mengajar anak muridnya, dalam memahami hakikat-hakikat ketuhanan.

Wallahua’lam.

Ustaz Syamil Esa
Majlis Ulama Isma
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat