Perbezaan Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 dan Darurat menurut perspektif undang-undang

PERDANA Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 disebabkan berlaku penularan wabak Pandemik COVID-19 di Malaysia. Mungkin ada dalam masyarakat kita yang tertanya-tanya adakah ini merupkan satu ‘lockdown’ dan bolehkah ia disebutkan sebagai darurat.

Pertama sekali, sepertimana yang disebutkan oleh Perdana Menteri, punca kuasa arahan atau perintah ini merupakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB 1988) dan Akta Polis 1967. Oleh hal yang demikian, dapat difahami bahawa ini merupakan suatu Perintah Kawalan Pergerakan dan ia berbeza dengan suatu Perintah Darurat atau disebut sebagai Emergency Order yang berpunca-kuasa terus daripada Perlembagaan Persekutuan.

Menurut seksyen 11 APPPB 1988, kerajaan boleh mengisytiharkan suatu-suatu kawasan itu sebagai kawasan tempatan jangkitan yang telah diancam oleh wabak apa-apa penyakit berjangkit dan kerajaan boleh menetapkan langkah-langkah yang hendak diambil untuk mengawal atau mencegah merebaknya apa-apa penyakit berjangkit di dalam atau dari sesuatu kawasan tempatan jangkitan.

Selain daripada itu, seksyen 31, sub-seksyen (1) dan (2)(t) APPPB 1988 memperuntukkan bahawa kerajaan boleh membuat peraturan-peraturan bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Malaysia dan apa-apa perkara yang pada pendapat kerajaan adalah wajar bagi pencegahan atau pengurangan penyakit-penyakit berjangkit.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa, sistem perundangan, eksekutif dan legislatif di negara ini masih dalam keadaan yang sama, tiada perubahan. Namun, apa yang berlaku hanyalah wujudnya perlaksanaan peraturan-peraturan bagi membendung, mencegah dan mengurangkan berjangkitnya wabak COVID-19 ini. Dalam konteks perintah ini, larangan pergerakan (kawalan) dikuatkuasan dengan berlakunya penutupan premis-premis kerajaan atau swasta yang tertentu, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara dan wujud larangan perhimpunan bagi mencapai maksud tujuan yang telah disebutkan.

Darurat pula, jika dirujuk kepada Bahagian XI (baca: sebelas) Perlembagaan Persekutuan bermula dengan wujudnya suatu pengeluaran pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Sepertimana kuasa untuk membubarkan parlimen dan kuasa untuk melantik Perdana Menteri, kuasa untuk mengisyitiharkan darurat merupakan salah satu kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Ketika darurat berlaku, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan (undang-undang) sebagaimana yang didapatinya perlu dan tarafnya ialah sama seperti sebuah akta Parlimen. Kuasa eksekutif kerajaan persekutuan juga boleh menjangkaui dan meliputi kuasa perundgan sesuatu negeri.

Parlimen juga boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara ketika Darurat walaupun ia mungkin bercanggah dengan Kebebasan asasi di bawah perlembagaan seperti Perkara 5 Kebebasan diri, Perkara 10 Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan dan Perkara 13 Hak terhadap harta. Tetapi, ia terkecuali dan tidak boleh daripada membuat undang-undang bekenaan perkara mengenai hukum Syarak, adat Melayu, adat anak negeri di Negeri Sabah dan Sarawak, agama, kewarganegaraan, atau bahasa sepertimana yang disematkan dalam Perkara 150 (6A) Perlembagaan Persekutuan.

Tidak seperti perintah kawalan yang disebutkan sebelum ini yang boleh dicabar, Proklamasi Darurat yang berdasarkan puas hati Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Walaupun istilah lockdown yang digunapakai pada hari ini tidak disebut di dalam mana-mana undang-undang, jika dirujuk kepada Kamus Merriam-Webster ia membawa maksud “an emergency measure or condition in which people are temporarily prevented from entering or leaving a restricted area or building during a threat of danger”.

Dapat disimpulkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan ini juga boleh disebut sebagai suatu ‘lockdown’ dengan melihat bahawa perintah ini melakukan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara. Akan tetapi ia berbeza dengan Emergency Lockdown atau full lockdown dan tidak bersifat sebagaimana sebuah Perintah Darurat. Perintah Kawalan Pergerakan ini juga bukanlah suatu pengistiharan darurat atau suatu Perintah Berkurung kerana tiada arahan untuk masyarakat tidak meninggalkan rumah dan kediaman dibuat. Lockdown ini juga hanyalah bermaksud sebagai partial-lockdown di mana masih ada premis-premis penting untuk maslahat asasi masyarakat yang dibuka dan beroperasi seperti biasa.

Kesemua rakyat dan masyarakat yang berada di Malaysia seharusnya bersama-sama memberi kerjasama dengan mengikuti perintah dan saranan daripada pihak berkuasa, agar wabak COVID-19 ini dapat dibendung dan dikurangkan penularan jangkitannya. Pada masa yang sama, masyarakat dinasihatkan agar bertenang dan tidak panik agar wabak ini dapat diuruskan dengan baik dan teratur.

Ahmad Aizat Bin Dolbaharin
Pelajar Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Gombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat