Budaya Kiasan Melayu Yang Semakin Dilupakan

Oleh: Nurul Hajjar Binti Atan

Kalau dahulu orang kata, media sosial ini lebih banyak buruk daripada baiknya. Namun, kini ianya sudah tidak relevan lagi kerana kehidupan norma baharu semakin mendesak kita untuk menggunakan media sosial dengan sehabis baik.

Walau bagaimanapun, lain pula keadaannya apabila sejak kebelakangan ini kita sering disajikan dengan lawak ataupun ketidakcerdikan masyarakat kita semasa menggunakan media sosial.

Baru-baru ini terdapat seorang pempengaruh (influencer) telah memburukkan pakaian tradisi masyarakat Sarawak dengan bahasa yang tidak sesuai, iaitu menyamakan pakaian tersebut dengan ‘kain buruk’.

Bukan itu sahaja, sebelum itu tular mengenai sikap selebriti yang sewenang-wenangnya melanggar SOP kerajaan untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan tanggapan masyarakat.

Sikap-sikap seperti ini secara tidak langsung membawa kepincangan dalam kalangan masyarakat sekali gus menimbulkan budaya tegur-menegur dengan bahasa yang tidak sopan atau mencarut sehingga kata-kata yang dikeluarkan itu ada yang berbentuk doa negatif kepada si pelaku bahkan membawa kepada dosa ‘makan daging saudara sendiri’.

Budaya tegur-menegur merupakan suatu budaya amar makruf yang diajarkan dalam agama Islam dan terbukti dengan firman Allah di dalam surah Al-Asr, yang bermaksud, “berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Begitu juga dalam masyarakat Melayu feudal yang membudayakan teguran secara kiasan bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan berlaku. Malangnya, budaya ini tidak lagi digunakan atau boleh dikatakan kian pupus dek arus zaman yang semakin mencabar ini.

Kalau dahulu masyarakat Melayu menggunakan pantun sebagai kiasan untuk menyampaikan teguran. Sebagai contoh, pantun di bawah ini merupakan teguran yang berbentuk sindiran bagi orang yang malas bekerja.

Tumbuk pulut di lesung tinggi,

Anak Pak Pandir tangkap belalang,

Hidupkan rumput bunuhkan padi,

Tentu sawah bertumbuh lalang.

Kini, bahasa kiasan yang indah seperti ini sudah jarang kedengaran malahan mungkin tidak difahami pun oleh masyarakat moden hari ini.

Justeru, sebagai kesimpulan saya menalakan tulisan ini buat diri saya dan kita semua. Belajarlah menggunakan bahasa yang baik dalam teguran, tidak cepat melenting bahkan sentiasa bersikap tenang dalam menghadapi situasi-situasi yang tidak disukai di media sosial.

Apa guna teguran jika tidak mendatangkan kebaikan? Apa guna menegur jika dosa yang diundang?

Wallahualam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat