Bukankah Subuh Itu Sangat Dekat?

Apabila Malaikat datang memberitahu Nabi Luth a.s untuk segera keluar dari kota Sodom pada waktu malam, Malaikat berpesan:

“Sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?” 

(Surah Hud 11: 81)

Kisah dalam al-Quran bukan sekadar cerita lama, tetapi sebuah kitaran yang berulang dan menjadi pedoman sebagai renungan. Jika kita perhatikan naratif “Kaum Sodom Moden” hari ini, skrip mereka saling tak tumpah dengan apa yang direkodkan dalam al-Quran ribuan tahun lalu.

Ciri-ciri yang disebutkan pada Kaum Sodom ini adalah tanda sebelum turunnya azab.

Dulu, apabila Nabi Luth a.s menegur, kaumnya menjawab dengan sinis: 

“…..Usir lah mereka, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (berpura-pura) suci!”

 (Surah al-A’raf 7 : 82)

Hari ini, ayat itu kedengaran semula. Apabila ada pihak yang menegur tentang fitrah dan agama, peluru pertama yang ditembak adalah

“You’re holier than thou.” (Kau acah-acah suci), juga dengan alasan “kubur masing-masing.”

Mereka memanipulasi rasa bersalah dalam hati orang beriman supaya kita diam. Mereka menjadikan perbuatan melarang itu kelihatan sebagai satu “kebodohan” atau “ketinggalan zaman”.

Kemudian, dosa kaum Sodom bukan sekadar dilakukan secara sembunyi, tetapi dilakukan secara terbuka. Al-Quran merekodkan mereka melakukan kemungkaran di tempat pertemuan awam. Firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?” Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

 (Surah al-Ankabut 29: 29)

Hari ini, maksiat songsang tidak lagi dilakukan di lorong gelap tetapi menjadi salah satu kandungan media sosial. Bahkan diraikan dengan bendera pelangi, dan menjadi perarakan penuh riak. Mereka terus terang tanpa malu, malah berbangga menayangkan identiti yang melanggar fitrah. Hilangnya rasa malu adalah tanda awal kehancuran sesuatu tamadun.

Ketiga, azab Allah di kota Sodom menimpa seluruh penduduk, bukan hanya pelaku homoseksual. Kenapa? Kerana wujudnya golongan enabler.

Isteri Nabi Luth a.s adalah simbol The Ultimate Enabler. Dia tidak melakukan hubungan sejenis, tetapi menyokong ‘hak asasi’ kaumnya, membocorkan rahsia orang beriman kepada kaumnya iaitu tentang kedatangan malaikat yang menjelma sebagai tetamu yang memiliki rupa paras baik, serta reda dengan maksiat di sekelilingnya.

Hari ini, enabler muncul dalam bentuk “kawan yang open minded”, watak-watak kartun yang ditayangkan, jenama korporat yang meraikan “pride”, dan netizen yang komen “biarlah dia, dia tak kacau orang”. Apabila masyarakat menjadi enabler, seluruh bandar ditimpa azab, walaupun dalam bandar tersebut ada orang baik, tetapi mereka hanya berdiam diri.

Keempat,  Kaum Sodom tidak pernah tertindas. Merekalah yang memegang tampuk kekuasaan dan mengugut Nabi. Zaman moden juga sama. Mereka menzahirkan diri sebagai mangsa minoriti yang “tertindas” untuk meraih simpati dan perhatian undang-undang. Namun realitinya, merekalah yang duduk di posisi yang tinggi, yang lantang menyerang undang-undang, cancel culture kepada yang menegur dan mendesak norma baharu diterima secara paksa.

Kenapa Allah pilih waktu Subuh untuk membalikkan bumi Sodom? Kerana pada ketika itu manusia sedang nyenyak, waktu paling lalai, dan paling gelap sebelum datangnya terang.

Hari ini, kita mungkin rasa selesa. Rasa mustahil dunia moden ini terlalu canggih untuk dibinasakan. Peringatan buat kita agar menentang perbuatan ini habis-habisan, jangan jadi enabler kepada perbuatan yang dilaknat ini, kerana kita tidak mahu ‘Azab Subuh’ itu menimpa kita. Nauzubillah.

Moga kita dan keluarga tidak menjadi sebahagian daripada debu-debu sejarah yang dibinasakan kerana perbuatan diam dan membenarkan kemungkaran.

Dr. Siti Sarah binti Amran
Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) ISMA

Scroll to Top