Cara Fikir Hari Ini, Gambaran Kehidupan Akan Datang – Presiden ISMA
Apa yang berlaku dalam kehidupan harian kita sekarang adalah hasil (natij) daripada cara fikir yang lalu. Cara fikir kita pada waktu sekarang pula akan membentuk masa depan kita yang akan datang. Kerana itu, anjakan cara fikir perlu sentiasa disegarkan dari masa ke semasa supaya tindakan yang kita ambil adalah berdasarkan cara fikir yang betul dan tepat.
Islam memperbetulkan cara fikir/tasawwur seorang muslim terhadap kehidupan. Tema-tema Al-Quran pada fasa awal penurunan wahyu adalah untuk memperkukukhan pegangan akidah dan memahami hakikat dan tujuan penciptaan manusia. Ia juga memberikan gambaran yang sebenar kepada manusia bahawa kehidupan yang kekal abadi adalah akhirat.
Justeru itu, perubahan yang dibawa oleh dakwah Rasulullah SAW adalah perubahan yang bersifat dasar dan menyeluruh. Sebagai contoh teguran wahyu terhadap sikap peniaga ketika itu yang tidak jujur dalam timbangan. Meskipun pada sudut pandang dan kira-kira duniawi apa yang dilkakukannya itu mendatangkan keuntungan, tetapi Al-Quran memperbetulkan cara pandang yang salah tersebut. Keuntungan yang diperoleh daripada kezaliman terhadap orang lain akan mendatangkan azab dan siksa di akhirat.
Inilah yang dilakukan secara berterusan dan berfasa oleh risalah Islam sepanjang 23 tahun tempoh dakwah Rasulullah SAW. Meletakkan kerangka fikir yang betul sebagai seorang muslim yang menyerah diri sepenuhnya kepada syariat yang bersumberkan wahyu dan sunnah Rasulullah SAW.
Maka lahirlah generasi keemasan Islam yang membawa Islam kepada kedudukannya yang gemilang di persada dunia. Generasi kemenangan yang membuka kota-kota besar tamadun di Timur dan Barat. Generasi yang menghasilkan sumbangan besar kepada peradaban kemanusiaan dalam segala bentuk ilmu dan pengkhususan.
Sudah pasti dan penuh yakin, usaha membangunkan semula peradaban Islam di masa akan datang bermula dengan usaha memperbetulkan semula kerangka fikir ummah masakini. Itulah usaha dakwah kita kepada masyarakat supaya mereka dapat membentuk cara fikir berdasarkan Islam dan seterusnya menghasilkan perubahan besar dalam cara membuat suatu keputusan dalam hidup. Dakwah ini perlu konsisten, mengakar umbi dan bernafas panjang.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA
15 Mei 2023