Budaya berpasangan ini atau dikenali sebagai ‘couple’ bukan merupakan hal yang asing lagi dalam kalangan masyarakat; “Couple itu ok”, “Couple tu best”, “Tak glamour laa kalau tak couple”, “Alaa, tak laku la tuu..” Malah dalam kalangan ibu bapa dan orang dewasa juga turut menyokong perbuatan ini; “bila nak ada kawan istimewa?”, “Macam mana nak kahwin kalau tak bercouple?”,
“Bagaimana nak kenal hati budi bakal pasangan?” Bermula dengan perasaan jatuh cinta, perkenalan seorang kawan bertukar menjadi kekasih. Bahkan, budaya ini boleh menjadi lebih serius apabila berlakunya seks luar nikah dan maksiat. Bila dah terlanjur dan mengandung, maka bermulalah kehidupan hitam terutamanya anak-anak gadis yang belum lagi matang menilai dunia. Minggu lepas sahaja, kita baru sahaja dikejutkan dengan sebuah berita seorang ibu berumur 15 tahun telah membunuh anaknya yang dilahirkan tanpa bapa.
Walaupun suspek yang belum berkahwin dipercayai mangsa rogol, namun banyak kes rogol adalah berpunca daripada perhubungan cinta palsu seorang mangsa kepada pemangsa yang berniat jahat. Begitulah realiti masyarakat kita zaman ini. Hari ini jutaan pasangan kekasih di seluruh dunia menyambut Hari Valentine! Sambutan hari memperingati kekasih yang diraikan dalam kalangan masyarakat Islam tidak seharusnya diremehkan. Ianya merupakan satu simbolik pengiktirafan sebuah ikatan perhubungan yang tidak sah di sisi Islam.
Masalah kita sebagai ibu bapa adalah kita lebih banyak berdiam diri daripada mencegah kemungkaran. Kita menganggap ini perkara yang biasa dalam kehidupan, mengadaptasi budaya moden atau kemajuan dalam kehidupan pada masa kini.
Jika kita sebagai ibu bapa tidak menunjukkan kebencian kepada kemaksiatan, anak-anak kita mungkin akan mula menormalisasikan perbuatan tersebut dan mengganggap perbuatan tersebut tidak salah dan akan dijadikan budayabaru dalam kehidupannya.
Kasih sayang bukanlah hanya dizahirkan pada hari-hari keraian tertentu sahaja, tetapi perlu dizahirkan melalui banyak tindakan seperti; berpelukan setiap hari, memberikan tanda ingatan untuk hari lahir, memuji akhlak baik dan memberi ganjaran atas pencapaian yang diperoleh anak-anak.
Zahirkanlah kasing sayang sepanjang masa agar anak-anak dapat rasakan bahawa ibu ayah merekalah yang paling terbaik, paling rapat dengan mereka. Oleh yang demikian, anak-anak tidak akan mencari ‘kekasih’ di luar sana.
Siti Hamidah Kurdi
Aktivis Biro Keluarga dan Masyarakat, Isma Iskandar Puteri