Dakwah, Sebagai Cara Hidup Muslim

Dunia akhir zaman. Penuh dengan fitnah dan maksiat akibat manusia jauh dari pegangan Al Quran dan sunnah. Sunnatullah, kebenaran sentiasa bertarung dengan kebatilan. Jika kebenaran tidak diperjuangkan oleh orang Islam, maka kebatilan yang diperjuangkan oleh fasik dan kafir akan menang.

Setiap yang bergelar muslim perlu tahu tugas sebenar mereka. Iaitu untuk menyeru manusia kepada Allah S.W.T. Kenapa perlunya untuk menyeru kepada kebenaran dan berdakwah?

1. Tugas Utama Para Rasul
Ketika di akhirat kelak, syafaat Rasulullah adalah antara yang dapat menyelamatkan kita. Namun, untuk mendapatkan syafaat dari baginda, bukanlah percuma. Bukan sekadar dengan berselawat memuji baginda, tetapi perlu juga kepada melaksanakan sunnah terbesar baginda iaitu, dakwah.

“Katakanlah wahai Muhammad: Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku berdakwah kepada Allah S.W.T dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, aku tiada termasuk orang musyrik.” (Surah Yusuf : 108)

2. Amal Yang Terbaik
Setinggi mana jawatan, mahupun sebaik mana pekerjaan yang kita miliki, tidaklah ia dapat menandingi kemuliaan pekerjaan dakwah. Maka, inilah pekerjaan yang paling mulia yang perlu dipilih oleh setiap manusia.

“Siapakah yang lebih baik perkataan daripada orang yang berdakwah kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata, sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri.” (Fussilat : 33)

Para Rasul dan nabi telah melakukan pekerjaan ini siang dan malam sepanjang kehidupan mereka. Kalimat dakwah adalah kalimat yang terbaik diucapkan di muka bumi, tetapi mesti disertai dengan amal soleh untuk membenarkannya, disertai penyerahan diri kepada Allah. Dengan itu dakwah ini ikhlas semata mata menyeru pada Allah, bukan atas kepentingan diri.

3. Balasan Yang Besar dan Berlipat Ganda
“Siapa yang mencontohkan perbuatan baik dalam Islam, lalu perbuatan itu setelahnya dicontoh (orang lain), maka akan dicatat untuknya pahala seperti pahala orang yang mencontohnya tanpa dikurangi sedikit pun pahala mereka yang mencontoh nya. Dan barangsiapa mencontohkan perbuatan buruk, lalu perbuatan itu dilakukan oleh orang lain, maka akan ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang menirunya tanpa mengurangi mereka yang menirunya.” (HR. Muslim dari Jarir bin Abdillah r.a)

Apabila sesorang itu melakukan pekerjaan dakwah, bukan sekadar balasan yang besar menantinya tetapi pahalanya juga akan terus menerus mengalir walaupun setelah dia meninggal dunia. Hal ini kerana, dakwah yang dilakukan semasa hayatnya telah memberi banyak manfaat kepada ramai lalu akhirnya dicontohi dan diteruskan oleh orang yang didakwahinya. Maka, tidakkah kita mahu akan pembalasan yang sangat besar ini?

4. Menyelamatkan Diri Dari Azab Allah S.W.T diri dari azab Allah swt.
Sesungguhnya, apabila kita telah melaksanakan tugasan dakwah, maka terlepaslah salah satu tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim.

Maka, setelah diselesaikan tanggungjawab ni, ia akan menjadi argumentasi dan penyelamat di hadapan Allah S.W.T kelak. Selain itu, kita melakukan dakwah dengan harapan orang yang didakwahi itu akan bertaqwa kepada Allah.

InsyaAllah, inilah pekerjaan yang juga mampu menyelamatkan diri dari azab Allah S.W.T kelak di akhirat.

5. Jalan Menuju Umat Yang Terbaik
Inilah matlamat kita, yakni menjadi umat terbaik yang kita idam-idamkan. Mengapa perlunya menjadi umat yang terbaik? Hal ini adalah supaya kita tidak hidup dalam ketakutan kerana percaturan dari golongan kafir.

Rasulullah telah membuktikan bahawa jalan ini (dakwah) telah membentuk masyarakat yang terbaik di Madinah. Maka, kita seharusnya belajar dari sejarah terdahulu. Laksanakanlah dakwah, dekatkanlah umat kepada Allah, insyaAllah, menjadi umat terbaik itu tidak mustahil!

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali Imran : 110)

Setelah mengetahui kenapa perlunya kepada perlaksanaan Dakwah, maka kita perlulah bersedia untuk menggalas tugas yang berat ini. Jalan ini tidaklah menjanjikan kemudahan, tetapi ia pasti memberi kemanisan sebagai seorang Muslim. Ayuh, laksanakan dakwah!

Oleh,

Dr. Asmah Bt Esa,

Ketua Wanita, ISMA Samarahan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat