Didik Anak-anak Dengan Al-Quran Sebagai Panduan Hidup

Selama mana kita memberikan fokus kepada pembinaan anak-anak dan remaja dengan al-Quran dan memahaminya sebagai rujukan hidup; selagi itu ummah ini akan terus melahirkan generasi pewaris kepada perjuangan Islam. Didik betul-betul generasi ini untuk:

1. Cintakan al-Quran

2. Baca al-Quran

3. Belajar bahasa Arab untuk faham al-Quran. Selagimana ummah tidak serius untuk belajar bahasa Arab, mereka tidak akan dapat merasai kemanisan tilawah dan faham apa yang ada dalam al-Quran. Tak cukup dengan terjemahan, belajar bersungguh-sungguh, pasti akan sampai.

4. Hafal al-Quran

5. Tadabbur al-Quran

6. Bangun malam dan membaca al-Quran dalam solat malam. Bagi mereka yang telah merasai kenikmatan berdiri lama membaca al-Quran dalam qiamulail, dia tidak akan meninggalkannya. Bagi yang belum, masih tidak terlambat untuk segera mencari kemanisan ini. Inilah rahsia dan resepi kekuatan semua pejuang Islam sejak zaman para sahabat hingga sekarang.

7. Perjuangkan kehendak dan tuntutan al-Quran terhadap kita sebagai sebuah ummah

Inilah generasi al-Quran yang dicita-citakan. Generasi ini tidak akan dikalahkan oleh siapapun. Mereka telah menjadi “ahlullah wa khossatuh”. Sesiapa yang meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT, dia tidak akan takut dan sedih.

Anak-anak Gaza ini daripada kacamata kita mereka serba serbi kekurangan, sedangkan hakikatnya kita yang “kurang” kerana telah dipalingkan daripada al-Quran dalam hidup yang “sibuk”. Kita telah jauh daripada al-Quran lalu Allah SWT menjauhkan kita daripada rahmat dan taufiqNya. Seperti Firman Allah SWT : 

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (Surah Taha: 124)

Hidup kita telah jadi sempit, jika kita jauh daripada al-Quran. Gunakanlah segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita untuk benar-benar dekatkan diri dengan al-Quran dengan bersungguh-sungguh.

Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA

Scroll to Top