Dimanakah pembelaan untuk Bella?

Bella, seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) telah dijumpai dalam keadaan yang menyayat hati, apabila mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain di sebuah kondominium.

Lebih malang lagi apabila Bella yang dijaga oleh seorang pemilik rumah kebajikan di ibu kota dikatakan telah didera dan mendapat reaksi yang pelbagai daripada rakyat Malaysia.

Isu penderaan merupakan sesuatu yang serius, tak terbayang dek akal bagaimana orang dewasa sanggup mendera anak yang tak berdosa.

Secara umum, kanak-kanak normal sudah pasti mempunyai ragam mereka yang tersendiri, seperti lasak bermain, menangis atau memberontak apabila ada keperluan mereka tidak dipenuhi. Namun orang dewasa yang lebih panjang akal sepatutnya boleh berfikir sebelum bertindak di luar kewarasan. Apatah lagi sampai sanggup mendera kanak-kanak istimewa sindrom Down ini.

Dalam suatu hadis, Rasulullah mengkhabarkan laknat buat mereka yang menzalimi orang kurang upaya.

عن ابن عباس قال النبي ﷺ : ملعونٌ مَن كمّه أعمى عنْ طريقٍ

Daripada Abdullah bin ‘Abbas berkata, Nabi s.a.w bersabda “Dilaknat mereka yang menyesatkan orang buta dari laluannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini menjelaskan perbuatan individu memimpin orang buta sehingga sengaja membawanya ke jalan yang salah adalah suatu kezaliman dan mendapat laknat daripada Allah.

Ia merupakan teguran tegas Nabi Muhammad supaya kita tidak melakukan kezaliman kepada manusia lebih-lebih lagi terhadap orang yang mempunyai kelainan upaya.

Secara zahir, golongan ini mempunyai keupayaan yang tidak sama seperti individu normal dari segi fizikal, intelektual dan mental. Oleh itu, Islam sangat menganjurkan berbuat baik dan menyantuni golongan kelainan upaya.

Pada masa yang sama timbul persoalan tentang hak penjagaan Bella yang mulanya ditempatkan di Rumah Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah kemudian diserahkan kepada individu bujang yang juga pengasas rumah kebajikan. Apa kelayakan atau keupayaan yang dimiliki oleh beliau? Lebih-lebih lagi untuk mengendalikan kanak-kanak OKU? Bahkan rumah kebajikan yang diasaskan juga tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Adakah rumah jagaan anak-anak adalah sekadar suatu umpan untuk mengeksploitasi dana yang diperuntukkan bagi pengurusan? Adakah isu Bella ini suatu contoh kes pengabaian anak-anak OKU untuk kepentingan peribadi? Persoalan ini perlu disiasat dengan lebih mendalam.

Selain itu, Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) telah menggariskan kepentingan untuk melindungi dan memastikan anak OKU menerima hak kehidupan yang baik serta dilindungi keselamatannya daripada sebarang bentuk diskriminasi dan penderaan.

Oleh itu, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia menyeru pihak berkuasa agar menjalankan siasatan yang telus. Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam kes penderaan Bella ini.

BKM juga menyeru semua untuk sama-sama mengambil iktibar daripada kisah yang berlaku. Marilah kita sama-sama menghayati kisah baginda Nabi yang menyayangi dan menyantuni golongan OKU.

Dr. Syarifah Aisyah Syed Abd Halim,
Unit Kajian dan Penerangan,
Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA

Scroll to Top