Erti Sebuah Kemerdekaan

Pidato Erti Sebuah Kemerdekaan ini telah memenangi tempat pertama bagi Pertandingan Pidato Hari Merdeka Anjuran Kelab NAZIM Kemaman.

———————————————————————————————————————————-

Sudah lebih setengah abad Malaysia mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah. Laungan “Merdeka!” oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj masih terngiang-ngiang di telinga anak pra merdeka yang pernah melalui kehidupan terseksa pada zaman penjajahan. Persoalan yang sentiasa timbul dalam benak fikiran kita ialah, “apakah erti sebuah kemerdekaan yang sebenar?”

‘Merdeka’ menurut kamus dewan ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Dalam konteks kemerdekaan yang dimaksudkan, ianya dapat ditafsirkan sebagai keadaan yang bebas daripada semua aspek sama ada bebas dari cengkaman penjajah dan bebas daripada sudut penjajahan minda.

Pada era globalisasi ini, remaja dilihat sering terikut-ikut dengan cara percakapan, berpakaian dan gaya hidup artis dari negara barat. Hakikatnya, budaya ini sememangnya tidak sesuai untuk negara timur terutamanya masyarakat Malaysia. Bermakna, kita masih belum mencapai kemerdekaan dari segi mental dan minda.

Di samping itu, kemerdekaan bermaksud rakyat hidup bersatu dalam keadaan yang harmoni serta mengambil cakna di antara satu sama lain. Perpaduan dan saling hormat-menghormati menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan damai. Keadaan ini dapat dikukuhkan lagi dengan berlakunya toleransi yang baik di antara kaum. Islam juga mengajar umatnya untuk saling hormat-menghormati di antara satu sama lain walaupun berbeza dari segi agama. Malah di dalam Islam, tidak ada paksaan di dalam beragama. Firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur).” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Firman Allah SWT juga di dalam Surah Al-An’am ayat 108:

Bermaksud: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Hal ini amat bertepatan dengan tema sambutan kemerdekaan kali yang ke 63, iaitu “MALAYSIA PRIHATIN”.

Selain itu, kemerdekaan memberi makna bahawa kita tidak lagi dikongkong oleh mana-mana pihak. Malaysia harus membuktikan kepada dunia yang rakyatnya mempunyai minda kelas pertama. Dengan ini, negara tidak perlu bergantung kepada tenaga pakar luar untuk memajukan negara.

Kemerdekaan juga bererti pembebasan mutlak daripada gejala negatif. Hal ini bermakna rakyat perlu bekerja gigih ke arah pencapaian model insan yang gemilang. Nilai murni harus dibenihkan ke dalam jiwa rakyat. Pemupukan nilai murni patut dimulakan melalui institusi keluarga dan sekolah.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan dan pertumbuhan anak-anak. Mutakhir ini, pengaruh gajet semakin menular dengan pantasnya. Adakah kita kini menjadi mangsa yang dijajah oleh media sosial dan pengaruh gajet? Tepuk dada, tanya iman.

Kemerdekaan bagi seorang muslim juga diertikan dengan kebebasan jiwa kita dari hasutan nafsu dan syaitan. Bebas dalam erti kata aqidah yang sohih, akhlak yang mulia serta minda yang sejahtera.

Pengorbanan dan perjuangan nenek moyang kita untuk memerdekakan Tanah melayu pada masa lampau perlu dikenang sehingga akhir zaman. Perjuangan ke arah kemerdekaan bukannya senang, tetapi memerlukan tekad dan azam yang utuh. Oleh itu,kemerdekaan ini semestinya dipertahankan hingga bila-bila.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
‘MALAYSIA PRIHATIN’ tema yang megah,
Bersama kita mengaplikasi.

Oleh,

Adik Hamimah Binti Mohd Zulkifli

Ahli Kelab NAZIM Kemaman

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat