MELAKA, 10 Disember -Yang Dipertua ISMA Melaka Tengah, Mohd Farhan Abdullah, menegaskan bahawa dari sudut undang-undang pentadbiran, tindakan anggota polis berada dalam ruang kuasa sah yang diberikan kepada PDRM.
“Setiap agensi kerajaan mempunyai bidang kuasa untuk menetapkan garis panduan operasi termasuk etika pemakaian demi menjaga ketertiban premis rasmi. Prinsip undang-undang pentadbiran mengiktiraf keperluan ini selagi tindakan itu munasabah dan bertujuan mengekalkan tertib dalam urusan awam,” katanya.
Kelmarin anggota polis tidak membenarkan dua orang wanita masuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berpunca daripada pelanggaran etika pemakaian ditetapkan untuk urusan di premis kerajaan.
Ahli politik DAP, Gobind Singh Deo turut mengkritik tindakan pihak polis yang disifatkan sebagai tindakan yang tidak munasabah kepada mereka.
Farhan menegaskan bahawa hak wanita tersebut untuk membuat laporan tetap terpelihara kerana laporan diterima selepas syarat pemakaian dipenuhi.
“Perkara ini berkait kepada pematuhan terhadap etika yang telah diwartakan. Proses laporan akhirnya berjalan tanpa halangan dan hak pengadu kekal dihormati,” jelasnya.
ISMA Melaka Tengah menekankan bahawa etika pemakaian di balai polis seiring nilai budaya Malaysia yang mengutamakan kesopanan di ruang rasmi.
“Malaysia memiliki tradisi adab dan tertib yang telah lama menjadi asas masyarakat. Tatacara pemakaian di premis kerajaan mencerminkan budaya tersebut. Hadir ke tempat rasmi dengan pakaian yang sesuai melambangkan rasa hormat terhadap ruang awam serta masyarakat sekeliling,” ujar Farhan.
Farhan turut menegur pendekatan ahli politik DAP yang mengeluarkan kecaman keras tanpa mengambil kira konteks undang-undang dan sensitiviti budaya tempatan.
“Kenyataan berlebihan hanya menimbulkan salah faham serta mewujudkan tekanan yang tidak membantu masyarakat. Penjelasan PDRM sudah jelas dan langkah yang diambil selaras tatacara yang telah ditetapkan,” tegasnya.
ISMA Melaka Tengah berpandangan isu ini wajar difahami melalui lensa undang-undang tempatan, nilai budaya serta keperluan menjaga kesejahteraan masyarakat.
“Balai polis ialah ruang rasmi yang memerlukan ketertiban. Etika pemakaian hadir sebagai usaha mengekalkan suasana yang kondusif untuk semua. Setiap pihak termasuk pemimpin politik wajar berhati-hati agar tidak menjejaskan keharmonian sosial,” tambah Farhan.
Farhan juga menyeru masyarakat agar memahami peraturan sedia ada serta mengelakkan polemik yang menggugat keamanan.
“Kita patut melihat perkara ini dengan tenang melalui neraca budaya Malaysia dan prinsip undang-undang yang sah. Kefahaman yang jelas akan membawa kepada kesejahteraan masyarakat keseluruhannya,” katanya lagi.
Farhan Abdullah
YDP ISMA Melaka Tengah


