ISMA memuji usaha murni pihak Familymart yang telah pun menamatkan penjualan arak dan minuman beralkohol di premisnya. Keberanian yang ditunjukkan oleh pihak Familymart telah mengutamakan kesejahteraan insan berbanding keuntungan dan kekayaan materialistik. Langkah ini adalah pemula bagi pembinaan sebuah negara yang bertamadun dan sentiasa memelihara kemuliaan insan yang terletak pada kesejahteraan akal fikiran.
Arak ini bukan sahaja dilarang dari sudut hukum syarak, tetapi juga telah menimbulkan pelbagai masalah kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Berapa banyak kemalangan dan kematian yang telah terjadi disebabkan oleh pemandu mabuk selepas meminum arak? Arak telah menghilangkan fungsi akal manusia yang akhirnya menyebabkan mereka hilang pertimbangan yang waras.
Pada tahun 2016, statistik daripada Statista Research Department telah mencatatkan kematian di Malaysia yang berpunca daripada arak seperti berikut:
Cirrhosis Hati – 411 orang
Kemalangan Jalanraya – 1111 orang
Kanser – 355 orang
Majoriti kematian berpunca daripada arak adalah akibat kemalangan jalanraya, diikuti dengan cirrhosis hati dan seterusnya kanser.
Berikutan itu, ISMA konsisten memperjuangkan isu arak yang menjadi punca kepada pelbagai masalah negara ini sejak beberapa tahun lepas melalui kempen “Malaysia Sejahtera Tanpa Arak”. Kempen ini juga telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan NGO yang lain seperti Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Menjadi harapan besar ISMA dan seluruh masyarakat di Malaysia untuk melihat negara kita yang tercinta ini bebas daripada najis arak. ISMA mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama menyokong usaha menolak arak di negara ini kerana elemen intelektual dan kewarasan akal adalah merupakan antara elemen terpenting dalam membangun Ummah Fadhilah.
Ust. Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Presiden Isma