Fenomena hina Islam perkara serius, semua pihak perlu bertindak

1. Kebelakangan ini dilihat kes penghinaan terhadap agama Islam & umat Islam yang amat menyakitkan hati dan membangkitkan kemarahan umat Islam semakin menjadi-jadi.
– Bermula pada 4 Julai 2022, seorang wanita yang mengaku Islam & menghafal Al-Quran namun tiba-tiba mendedahkan aurat di khalayak ramai tanpa sedikit pun rasa malu dan bersalah
– Disusuli pula video yang tular menunjukkan seorang lelaki berbangsa cina mengajuk laungan azan di radio pada 15 Julai 2022
– Seterusnya, seorang lelaki yang mencabar NGO untuk bergaduh dengannya selain mengumpamakan Allah SWT, Nabi SAW seperti binatang & menghina Islam dengan perkataan carut dan kesat pada 17 Julai 2022
– Keesokannya pula pada 18 Julai 2022, tular video seorang lelaki yang dilihat tidak berpuas hati dengan seseorang serta mengumpamakan Islam seperti najis sambil menunjukkan punggungnya.
– Selain daripada itu, tersebar satu rakaman audio di aplikasi WhatsApp oleh seorang lelaki yang menghina agama Islam & mencabar Allah sambil memaki hamun beberapa individu lain.

2. Ini kes-kes yang tular di media sosial, tidak termasuk kes-kes seperti ini yang kemungkinan banyak lagi yang tidak tular dan kita tidak tahu.
Fenomena ini merupakan suatu perkara yang amat serius dan membimbangkan. Ia memerlukan tindakan segera yang perlu diambil oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa supaya kes-kes seperti ini tidak berlaku lagi.
a) Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang tegas serta tidak memberi muka kepada para penghina agama seperti ini. Tindakan yang dikenakan perlulah setimpal dengan saiz jenayah yang dilakukan. Adakah di sana jenayah yang lebih berat daripada menghina atau mempersendakan tuhan dan agama ?
Para Ulama’ Islam mengatakan bahawa seseorang yang menghina agama Islam atau menghina tuhan sama ada penghinaan tersebut secara langsung iaitu dengan menghina zat tuhan atau agama Islam atau secara tidak langsung seperti menghina ajaran-ajaran Allah, hukum-hakamNya, kitab-kitabNya, Rasul-RasulNya atau menghina ajaran para Nabi maka dia dianggap telah kufur, terkeluar (murtad) daripada agama Islam dan wajib diminta bertaubat. Jika tidak bertaubat, maka dia layak dijatuhkan hukuman yang berat oleh pihak berkuasa. Ini berdasarkan firman Allah :
وَلَىِٕن سَأَلۡتَهُمۡ لَیَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَایَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ (65)
لَا تَعۡتَذِرُوا۟ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِیمَـٰنِكُمۡۚ إِن نَّعۡفُ عَن طَاۤىِٕفَةࣲ مِّنكُمۡ نُعَذِّبۡ طَاۤىِٕفَةَۢ بِأَنَّهُمۡ كَانُوا۟ مُجۡرِمِینَ (66(
[Surah At-Tawbah: 65-66]
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
b) Umat Islam harus berwaspada dengan gerakan liberal yang mendapat dana dari luar untuk memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia mengikut acuan barat, dimana kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan itu sebahagiannya jelas bertentangan dan bercanggah dengan ajaran Islam yang mulia.
c) Para Alim Ulama’ dan Ustaz Ustazah perlu memainkan peranan dalam memberikan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat. Jangan sibuk bertelagah dalam isu-isu kecil atau khilaf (yang boleh diperselisihkan pandangan) sahaja dan tidak menghiraukan isu-isu yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam terutamanya golongan anak muda.
d) Para Ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam menanamkan iman dan taqwa dan kefahaman Islam yang betul dalam jiwa anak-anak selain memantau gerak geri mereka serta bersama siapa mereka berkawan, agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan fahaman dan ajaran sesat atau yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Penekanan terhadap solat berjemaah dan mempelajari Al-Quran juga sangat penting dalam melahirkan seorang insan yang cemerlang duniawi dan ukhrawi.

3. Akhir zaman ini, pengaruh-pengaruh barat dan ideologi-ideologi sesat seperti fahaman liberal, LGBT, syiah, tarekat sesat dan seumpamanya terlalu banyak dan mudah tersebar di media-media sosial. Ia juga amat sukar untuk dikekang kerana setiap orang yang menggunakan media sosial bebas menulis, menghantar dan berkongsi video atau audio mengikut ‘selera’ dan pandangan masing-masing tanpa batasan dan kawalan.

4. Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan dan bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih parah dan tidak mampu dikawal lagi. Semoga Allah membantu kita dalam usaha mengekang pengaruh-pengaruh songsang serta gejala menghina dan mempermainkan agama demi kesejahteraan semua bangsa dan agama di negara tercinta ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat