Khabar gembira yang diterima di awal pagi hari ini mengenai persetujuan gencatan senjata di Gaza telah membuka lembaran baharu kepada fasa pembebasan negara Palestin sebagai sebuah negara berdaulat. Ia boleh dianggap sebagai kejayaan awal, rakyat Palestin ke atas perjuangan hak kewujudan mereka dalam menentukan nasib dan masa depan tanah air mereka sendiri.
Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 akan sentiasa diingati sebagai satu titik paling bersejarah dalam siri perjuangan rakyat Palestin menuntut hak mereka sebagai warga yang merdeka.
Pekung Regim Zionis dilondehkan sepenuhnya.
Dalam tempoh hampir 500 hari, dunia telah menyaksikan sendiri akan hakikat dan realiti sebenar regim Zionis yang telah melakukan jenayah genosid terburuk dalam sejarah kemanusiaan dan mencabul segala bentuk undang-undang antarabangsa yang wujud dengan aksi pembantaian berterusan ke atas penduduk Gaza yang mengorbankan lebih 45 ribu jiwa dan lebih 100 ribu orang mengalami kecederaan.
Regim Zionis dan juga sekutu mereka telah hilang segala keabsahan untuk bicara soal keadilan, hak dan kemanusiaan.
Agenda licik regim Zionis dan sekutu untuk menyepikan dan melenyapkan isu Palestin sehingga dilupakan oleh masyarakat dunia telah gagal sepenuhnya bahkan memakan diri mereka sendiri apabila majoriti besar warga dunia bangkit dan bangun mengatakan tidak kepada komplot jahat mereka ini.
Gaza: Simbol Perjuangan Ummah.
Rakyat Palestin di Gaza khususnya telah menjadi contoh suri teladan kepada ummah sebagai simbol kepada perjuangan, kecekalan, kesiagaan dan kesabaran di atas segala penderitaan, kezaliman dan pencabulan dan penafian hak ke atas mereka selama ini.
Darah para syuhadak di kalangan para pejuang, wanita dan kanak-kanak serta orang tua tidak akan sama sekali sia-sia.
Keadilan hanya akan tertegak apabila pihak pelaku jenayah antarabangsa ini benar-benar diadili dan dijatuhi hukuman setimpal.
Apa langkah serterusnya?
Langkah paling strategik yang harus dimainkan oleh ummah ialah untuk membangunkan secara terancang kapasiti dan keupayaan Ummah di segala aspek kekuatan dalam bidang-bidang yang akan memberikan jaminan pelan jangka masa panjang kepada perjuangan pembebasan Palestin.
Di peringkat tempatan, Ummah di Malaysia diseru untuk terus teguh bersolidariti dan bersama dengan rakyat Palestin, mengembeleng tenaga menyampaikan kesedaran dan memberi sumbangan dalam segala bentuk bantuan terutama di fasa awal yang kritikal ini membangun semula wilayah Gaza yang hampir musnah teruk.
Di peringkat global, Ummah perlu bersatu hati dan suara dan bertegas menyatakan tidak kepada sebarang usaha projek normalisasi Zionis dan idea menukar peta kewujudan Palestin dari peta dunia.
Para pemimpin negara arab dan umat Islam hendaklah menunjukkan kesetiaan dan kejujuran laungan mereka untuk bersama dengan perjuangan rakyat Palestin dengan kesungguhan politik yang benar-benar diterjemahkan dengan kewujudan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
Ustaz Salman al-Farisi bin Selamat,
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa dan Kebudayaan ISMA