Golongan Belia Sudah Tidak Minat Belajar Di Universiti Atas Banyak Faktor

Mendengar tazkirah selepas solat tarawih dari Prof Dr Mokmin Basri, Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) di Masjid KUIS. Selepas witir mengambil masa beliau sebentar berbual-bual bersambung dengan moreh.

Saya berkongsi kebimbangan yang sama dengan apa yang beliau suarakan di dalam tazkirahnya berkenaan dengan situasi sekarang yang menyaksikan golongan belia sudah mula tidak mahu mengambil beban untuk belajar di universiti menguasai satu-satu bidang ilmu. Jika tamat universiti pun, berlaku juga suasana di mana mahasiswa menumpukan diri di kerjaya lain di luar dari bidangnya. Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpaksa turun padang untuk mencari pelajar; fenomena yang tidak pernah berlaku 10 tahun lepas.

Tambahan dari saya, banyak faktor yang boleh dilihat dan disenaraikan. Bukan salah golongan belia tetapi banyak faktor lain yang menyumbang kepada fenomena ini.

1. Kos di universiti yang semakin mahal dari hari ke hari. Ditambah dengan biasiswa yang semakin kurang. Jika ada pinjaman pun, pinjaman itu sendiri tidak memenuhi keseluruhan keperluan pelajar di universiti, perlu kepada tambahan dari sumber lain juga.

2. Peluang pekerjaan selepas tamat di universiti yang semakin mengecil dalam kebanyakan bidang. Hutang pinjaman di universiti hanya akan membebankan belia yang terkapai-kapai mencari pekerjaan.

3. Peluang menjana kewangan melalui beberapa aktiviti yang lebih mudah tanpa perlu kepada ijazah dan sebagainya. Menjadi pemandu grab mungkin lebih selesa untuk sebahagian belia. Menjadi youtuber/instafamous juga boleh jadi pilihan yang baik untuk menjana kewangan menampung keperluan hidup.

4. Media sosial yang menjadikan belia tidak pandai berinteraksi secara fizikal. Deria belia hanya hidup dengan komen dan ‘like’ di media sosial. Ini sekali gus menjadikan deria kesedaran untuk menanggung beban membangunkan negara secara aktif juga semakin hilang.

Dan mungkin banyak lagi faktor lain juga boleh disenaraikan.

Fenomena ini akhirnya menjebakkan belia ke masalah lain pula seperti:

1. Kemahuan untuk mendirikan rumahtangga dan menanggung beban keluarga akan semakin menurun.

2. Ketidakstabilan kerjaya dan emosi yang membawa kepada gangguan terhadap keharmonian rumah tangga.

3. Bilangan anak-anak bagi satu keluarga akan semakin menurun. Jika sekarang pun satu keluarga mungkin ada 2 orang anak secara purata, berbeza dengan 20 tahun lepas yang satu keluarga ada 5 orang anak secara purata. Ini akan bagi kesan kepada kestabilan negara pula.

4. Ruang kosong dalam bidang-bidang kritikal yang patut diisi oleh belia akibat dari fenomena sebahagian belia tidak mahu menanggung beban bidang pengajian di universiti akan membawa kepada kelompongan bidang tersebut kepada negara.

Apa akan jadi kepada negara 20 tahun akan datang jika tidak ada langkah drastik dan serius diambil dari sekarang.

Banyak kerja perlu dilakukan … ini sekadar lontaran masalah. Penyelesaiannya memerlukan satu perbincangan lain yang lebih panjang.

Wallahu a’lam.

*Saya mendoakan hasrat Prof Dr Mokmin untuk menjadikan KUIS universiti yang berdiri atas sistem wakaf dan mampu menaja pelajar-pelajar cerdik untuk mengisi bidang-bidang keperluan negara akan berjaya. Semua kejayaan di masa datang bermula dari cita-cita dan wawasan yang betul.

 

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA
11 April 2022

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat