Good Friday dan 5 Perkara yang Perlu Diketahui

A0057989033

Hari ini merupakan hari cuti umum bagi Sabah dan Sarawak bersempena Good Friday. Mungkin kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya di Semenanjung Malaysia, tidak mengetahui apakah sebenarnya Good Friday.

Good Friday menurut ajaran Kristian adalah hari memperingati penyaliban dan kematian Jesus di atas pergunungan Calvary.

Walaupun terdapat pelbagai variasi kisah tentang asal usul sambutan Good Friday dan Easter, malah terdapat juga perbezaan tarikh menyambutnya di kalangan masyarakat Kristian di seluruh dunia, hari-hari tersebut merupakan asas penting untuk memahami ajaran Kristian.

Sebagai umat Islam, kita perlu mempunyai asas pengetahuan sedikit sebanyak mengenai ajaran Kristian supaya kita dapat berdakwah dan mengajak mereka kepada agama Islam.

Islam merupakan satu-satunya agama di dunia yang mengiktiraf keistimewaan Jesus, ataupun Isa (alaihissalam) dalam Bahasa Arabnya. Dengan persamaan ini, lebih mudah sebenarnya untuk penganut Kristian tertarik dengan Islam.

Terdapat beberapa konsep asas di dalam agama Kristian yang berbeza dengan Islam

1- Dosa Warisan

Penganut Kristian mempercayai bahawa Tuhan telah menciptakan manusia pertama Adam, serta isterinya Eve (Hawa) di syurga. Namun mereka telah melakukan dosa memakan buah larangan dan menjadi asbab mereka disingkirkan dari syurga. Lalu dengan itu, manusia yang berasal usul dari syurga terpaksa menanggung kehidupan dunia yang penuh derita, kejahatan dan kematian. Dari hal ini, lahir konsep “Original Sin”, iaitu dosa tersebut diwarisi oleh seluruh keturunan Adam dan Hawa. Sepertimana dinukilkan dalam kitab Bible:

“I will greatly increase the pain of your pregnancy, and in pain you will give birth…All your life you will struggle to scratch a living from it” – Genesis 3:16-17

“For all have sinned and fall short of the glory of God” – Romans 3:23

“Therefore, just as sin entered the world through one man, and death through sin, and in this way death came to all men, because all sinned” – Romans 5:18

Walau bagaimanapun, terdapat cara untuk dosa warisan tersebut diampunkan Tuhan tetapi dengan syarat tertentu.

Berbeza dari ajaran Islam, yang mana Adam dan Hawa telah melakukan dosa memakan buah larangan kerana terpengaruh dengan hasutan Iblis. Lalu mereka bertaubat kepada Tuhan Yang Esa, iaitu Allah, dan Allah mengampunkan dosa mereka kerana memakan buah larangan. Namun sebagai hukuman, mereka diturunkan ke bumi, tempat yang susah dan senang serta ada tanggungjawab tertentu. Allah juga memperingatkan supaya Adam serta keturunannya supaya tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan dan tetap beramal soleh supaya dengan izin Allah dapat masuk ke syurga semula nanti. Kisah ini dirakamkan di dalam Al Quran, Surah Al-A’araf, ayat 19 – 28.

Allah berfirman dalam Al Quran bahawa seorang manusia tidak akan mewarisi dosa orang lain, dalam hal ini tiada konsep dosa warisan di dalam Islam. Sepertimana firman Allah di dalam Al Quran:

“Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain” (Surah Al Israa’, ayat 15)

“Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikitpun dan kamu tidak dibalasi, kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan. (Surah Ya Sin, ayat 54)

“Dan takutlah kamu kepada suatu hari di waktu seseorang tidak dapat menggantikan seseorang lain sedikitpun dan tidak akan diterima suatu tebusan daripadanya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafa’at kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.” (Surah Al Baqarah, ayat 123)

2- Anak Tuhan sebagai Penyelamat

Menurut ajaran Kristian, sejak Adam dan Hawa diturunkan ke dunia, mereka menanggung dosa warisan.

“There is no one righteous, not even one” Romans 3:10

Walaubagaimanapun terdapat sedikit percanggahan di dalam ajaran Kristian, kerana terdapat ayat-ayat Bible yang turut menolak konsep dosa warisan.

“The person who sins will die. The son will not bear the punishment for the father’s iniquity, nor will the father bear the punishment for the son’s iniquity; the righteousness of the righteous will be upon himself, and the wickedness of the wicked will be upon himself” Ezekiel 18:20

Para ilmuwan Kristian menyatakan “Still, the transmission of original sin is a mystery that we cannot fully understand.” (Catechism Of The Catholic Church Pt 1, Sec 2, Chap 1, Art 1, Para 7)

Berbalik kepada dosa yang diwarisi umat manusia sejak Adam dan Hawa disingkirkan dari syurga, agama Kristian menyatakan bahawa Tuhan telah mengutuskan satu-satu anaknya untuk berkorban demi umat manusia yang berdosa. Hari penyaliban dan kematian Jesus yang berlaku pada hari Good Friday dianggap sebagai hari pengorbanan Jesus kerana Jesus disalib bagi menanggung dosa-dosa seluruh penganut Kristian. Tetapi pada hari Easter, Jesus bangkit dari kematian dan memberitahu semua bahawa dia adalah anak Tuhan yang diutuskan Tuhan untuk memberi kesejahteraan dan keampunan kepada sesiapa yang beriman kepadanya. Sesiapa beriman kepada Jesus, maka dosa tersebut diampunkan. Penganut agama Kristian mengaku bahawa mereka adalah pengikut Jesus atau “the followers of Jesus Christ”. Sebab itu mereka menggelar diri mereka sebagai “Christian” (Krist – Christ).

“For God so love the world that he gave his only begotten son for those believe in him shall not perish and will have everlasting life”- John 3:16

“If Jesus was not risen from the dead, our preaching is vain, our faith is vain” – 1 Corinthians 15:14

Bagi umat Islam, Jesus ataupun Isa (alaihissalam) merupakan salah seorang Nabi dan juga seorang Rasul yang diutuskan Allah untuk menyampaikan risalah tauhid yang mengEsakan Allah subhanahu wa ta’ala sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Isa membawa akidah yang sama sepertimana setiap Nabi dan Rasul yang datang sebelumnya.

Adam, Idris, Nuh, Hud, Soleh, Ibrahim, Luth, Ismail, Ishak, Yaakob, Yusuf, Ayub, Syu’aib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas’, Ilyasa’, Yunus, Zakariya, Isa dan Muhammad, semuanya Nabi dan Rasul utusan Allah yang mengajak manusia untuk bersaksi “Tiada Tuhan selain Allah” dan juga bersaksi bahawa mereka adalah pesuruh dan utusan Allah. Setiap satu Rasul ini merupakan Muslim, iaitu mereka yang tunduk dan patuh kepada Allah.

Untuk manusia yang hidup di zaman setiap Rasul tersebut, yang beriman kepada dakwah dan syariat yang dibawa mereka, maka Allah akan ganjarkan syurga.

Ajaran Islam menunjukkan bahawa umat manusia pada setiap zaman tidak perlu menunggu seorang penyelamat untuk membawa mereka kepada keselamatan dan keampunan. Tetapi, Allah dengan Maha Adil sifatnya memastikan bahawa setiap umat diutuskan untuk memandu kehidupan mereka.

“Tiap-tiap umat mempunyai rasul; maka apabila telah datang rasul mereka, diberikanlah keputusan antara mereka dengan adil dan mereka (sedikit pun) tidak dianiaya.” (Surah Yunus: 47)

Bahkan Allah tidak akan mengazab sesiapapun yang mana tidak pernah sampai risalah tauhid kepada mereka, sepertimana firmannya:

“Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.” (Surah Al-Isra: 15)

Satu kisah penting, bagaimana Nabi Isa menyanggah tohmahan bahawa baginda telah menjadikan dirinya sebagai Tuhan dirakamkan dalam Surah Al Maidah, ayat 116-120

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

 “Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ‘ dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar”.

Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

3- Perbezaan pada peristiwa hari penyaliban

Penganut agama Kristian mempercayai bahawa Jesus yang disalib pada hari Jumaat, dan dibangkitkan pada hari Ahad.  Pakaian Jesus ditanggalkan dan digantung pada tiang salib. Pengarah Hollywood turut mengadaptasi kisah ini dalam filem “Passion of The Christ”, yang mendapat reaksi yang bercampur baur dalam bentuk kritikan serta simpati dan sokongan daripada penganut agama Kristian pelbagai latar seluruh dunia. Penderitaan dan kematian Jesus di tiang salib menjadi penebus kepada dosa seluruh penganut Kristian.

Di dalam Bible, telah diceritakan seolah-olah Jesus tidak memahami mengapakah dia disiksa sebegitu:

“About the ninth hour Jesus cried out in a loud voice, Eloi, Eloi, lama sabachthani? – which means, My God, my God, why have you forsaken me?” – Matthew 27:45-46

Di dalam Islam menyatakan bahawa Jesus, ataupun Isa (alaihissalam) tidak disalib. Tetapi telah diselamatkan Allah dan diangkat ke syurga. Pada hari berlakunya peristiwa penyaliban, Allah telah menjadikan wajah pengikutnya yang khianat menyerupai wajah Nabi Isa. Sepertimana diceritakan dalam Surah An Nisa, ayat 157-158:

Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

4- Konsep Trinity

Konsep Trinity merupakan doktrin agama Kristian yang menyatakan bahawa Tuhan wujud dalam konsep tiga-dalam-satu, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak (merujuk kepada Jesus) dan Ruhul Qudus (atau dalam bahasa Inggerisnya “Father”, “Son”, dan “Holy Spirit”). Konsep ketuhanan Trinity ini juga hangat diperdebatkan di kalangan aliran-aliran Kristian yang pelbagai.  Bahkan Saint Augustine of Hippo, seorang tokoh Kristian juga berkata, “Try to understand it, you will lose your mind. Try to deny it, you will lose your soul”

Ini kerana, kebanyakan ayat-ayat Bible menggambarkan bahawa Tuhan bersifat tunggal dan tiada yang setara dengannya Antara ayat Bible yang mempunyai kontradiksi dengan konsep Trinity adalah:

 “Hear O Israel, the Lord our God the Lord is One” – Deut 6:4, Mark 12:29

“I am God, and there is no other; I am God, and there is none like me” – Isaiah 46:9

“My Father is greater than I.” -Gospel of John (14:28)

The Lord Almighty: “I am the first and I am the last; apart from me there is no God” – Isaiah 44:6

“You shall have no other gods before Me. You shall not make unto you any graven image, or any likeness of anything that is in Heaven above, or that is in the earth beneath, or that is in the water under the earth: you shall not bow down thyself to them, nor serve them: for I the Lord thy God am a jealous God” – Exodus 20:3-5, Deuteronomy 3:5-7

Isa merupakan anak kepada Maryam (alaihassalam), seorang wanita yang rajin beribadah sepertimana yang dinukilkan dalam Surah Maryam.

Dengan izin Allah, Maryam telah mengandungkan Isa tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki.

Isa menurut Islam bukanlah seorang anak Tuhan, bahkan bukanlah sebahagian dari Tuhan. Tetapi hanyalah seorang manusia biasa yang diutus sebagai Rasul dan diberi pelbagai kelebihan dan mukjizat. Di dalam Surah Maryam ayat 31-35, Nabi Isa menerangkan perihal diri bagina:

Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.

Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.

” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.

Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia.

Ini sangat berbeza dari ajaran Kristian melalui konsep Trinity yang menganggap Isa adalah sebahagian dari komponen Tuhan yang mereka imani. Islam terang-terangan menolak konsep persengkokolan Tuhan dengan mana-mana elemen lain. Allah berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 171,

“…… Maka berimanlah kepada Allah dan rasul-rasul-Nya  dan janganlah kamu mengatakan, “(Tuhan itu) tiga,” berhentilah (daripada ucapan itu)……”

Allah turut berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 73,

 “Sungguh, telah kafir orang-orang yang mengatakan bahawa Allah adalah salah satu daripada yang tiga, padahal tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan yang Esa…..”

Juga dalam Surah Al Ikhlas, ayat 3,

“Dia tidak beranak, dan Dia tidak diperanakkan”

5- Isa kembali

Di dalam ajaran Kristian, Jesus telah pun bangkit dalam bentuk anak Tuhan pada hari Ahad selepas hari Jumaat yang mana beliau disalib, sebahagian ceritanya dirakam dalam Bible:

 “How are the dead raised? With what kind of body will they come?…The body that is sown is perishable, it is raised imperishable” – 1 Corinthians 15:35 & 42

“Look at my hands and my feet. It is I, myself! Touch me and see; for a spirit does not have flesh and bones…Do you have anything here to eat?” – Luke 24:39-43

Sedangkan di dalam ajaran Islam, Nabi Isa telah diangkat ke sisi Allah dan akan dikembalikan sebelum berlakunya Hari Kiamat, sepertimana dalam Surah Az Zukhruf, ayat 61”

“Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus.”

Di antara bukti dari hadith yang diriwayatkan Bukhari (no. 3448) dan Muslim (no. 155.) bahawa Nabi Muhammad s.a.w, iaitu dari Abu Hurairah, beliau bersabda,

“Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya. Sebentar lagi Isa bin Maryam akan turun di tengah-tengah kalian sebagai hakim yang adil. Beliau akan menghancurkan salib, membunuh babi, menghapus jizyah, harta semakin banyak dan semakin berkat sampai seseorang tidak ada yang menerima harta itu lagi (sebagai sedekah), dan sujud seseorang lebih disukai daripada dunia dan seisinya.” Abu Hurairah lalu mengatakan, “Bacalah jika kalian suka:

“Tidak ada seorangpun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di hari kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka.” (QS. An Nisa’: 159)”14

Begitulah sedikit sebanyak penerangan mengenai beberapa perkara asas di dalam ajaran Kristian, dan bagaimana Allah (subhanahu wa ta’ala) telah menjawabnya di dalam Al Quran. Semoga setiap umat Islam lebih memahami beberapa aspek ajaran Kristian yang mencanggahi prinsip akidah Islam, selain mengukuhkan keyakinan kepada keseluruhan ajaran Islam. Bahkan cukup yakin jika perlu berhadapan dengan golongan mubaligh Kristian, “missionaries” mahupun evangelis, serta menyampaikan kebenaran Islam yang syumul lagi jelas dan terang.

Norhidayah Ismail
Wanita Isma
(Pelajar bidang Perbandingan Agama)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat