Memperkenalkan manusia kepada Allah swt adalah jasa terbesar guru.
Peranan dan fungsi guru sangat dirasai oleh semua orang. Sebab itu kita dapat melihat seseorang guru tetap dipanggil sebagai “Cikgu” walaupun telah bersara. Dari tangan para guru lahirnya pelbagai golongan profesional, tenaga mahir bahkan pemimpin negara dan dunia.
Jika kita mengimbau budaya dan pengamalan ayah ibu dan datuk nenek kita terdahulu, mereka memang sangat percaya dan menghormati para guru. Saya juga sangat ingat dan menghargai arwah ayah saya yang sering membuat “pengisytiharan” di dalam kelas untuk guru-guru merotan anaknya sekiranya membuat kesalahan.
Perkara ini juga sebenarnya yang berjaya melahirkan seorang pemimpin yang diiktiraf oleh baginda Nabi saw sebagai sebaik-baik pemimpin iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, yang telah membebaskan Kota Constantinople daripada genggaman Rom. Sultan Murad (ayah Sultan Al-Fateh) telah memberikan rotan kepada Syeikh Aq Syamsuddin (guru Sultan Al-Fateh) untuk mendidik anaknya.
Fungsi guru ini pada hakikatnya bukan terletak pada profesion/kerjaya semata-mata. Sesiapa sahaja yang menjalankan peranan mendidik dan mengajarkan kebenaran, mereka juga merupakan guru. Sebesar-besar jasa para guru ini adalah mereka memperkenalkan kita kepada Allah swt sebagai tuhan sekalian alam. Mereka mengikuti sunnah Nabi saw yang menunjukkan manusia jalan ke syurga dan menyelamatkan kita dari azab neraka.
Namun begitu, kegusaran dalam diri saya timbul apabila adab terhadap guru-guru sudah semakin dilupakan dan seringkali dipandang enteng. Sedangkan dalam Islam adab terhadap guru sangat ditekankan. Setiap manusia yang beradab pasti berilmu, tetapi sesiapa yang berilmu belum pasti beradab. Penerapan nilai-nilai murni dan adab-adab Islam adalah aspek penting yang perlu ditekankan dalam usaha pembinaan ummah yang bertamadun (Ummah Fadhilah).
Terima kasih buat semua guru. Selamat Hari Guru!
Ustaz Muhammad Shahier Sa’min
Naib Presiden ISMA