Tahun 2025, seramai 413 ribu lebih pelajar menduduki SPM berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 405 ribu lebih pelajar. Persoalan besar yang sering timbul ialah: “Apa langkah seterusnya selepas SPM?” Keputusan SPM bukanlah sekadar penutup zaman persekolahan, tetapi pintu masuk kepada pelbagai laluan masa depan.
Sumber daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), seramai 150,557 calon (67.33%) lepasan SPM 2024 telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian tahap kedua.
Daripada jumlah tersebut, seramai 86,589 calon ditawarkan ke Universiti Awam, 42,058 calon ditawarkan ke Politeknik. Manakala, 20,427 ke Kolej Komuniti dan 1,483 di MARA BPT.
Rata-rata pelajar lepasan SPM akan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana memenuhi kehendak pasaran yang memerlukan pekerja yang berkemahiran dan bertauliah.
Namun, perkara utama yang perlu difikirkan oleh seorang pelajar lepasan SPM ialah apakah minat dan bakat yang dimiliki serta bagaimana potensi tersebut pada masa depan. Bukan hanya sekadar mengikut arus atau rakan-rakan dalam menentukan pilihan masa depan. Jika kita gagal merancang, maka kita merancang untuk gagal. Jangan kerana ikut-ikut akhirnya kita menyesal, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Antara laluan utama selepas SPM ialah pra-universiti seperti Matrikulasi KPM iaitu program satu atau dua tahun, menjadi laluan pantas ke universiti awam dalam bidang STEM. Selain itu, Program Asasi Universiti Awam iaitu tempoh satu tahun, lebih eksklusif dan terhad, biasanya untuk bidang sains, perubatan dan undang-undang. Seterusnya STPM (Tingkatan 6) iaitu tempoh satu tahun setengah sehingga dua tahun, setaraf A-Level dan mendapat pengikktirafan dari dalam dan luar negara.
Di samping itu, diploma juga ditawarkan di universiti awam, politeknik, dan kolej swasta yang mengambil tempoh dua hingga tiga tahun belajar. Selain itu, mereka yang ingin fokus pada kemahiran praktikal seperti automotif, elektrik, kulinari, hospitaliti, teknologi maklumat dan lain-lain kemahiran boleh memilih aliran TVET (Technical and Vocational Education and Training). Laluan ini semakin mendapat perhatian kerana permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran. Terdapat juga mereka yang memilih untuk terus bekerja atau membuka perniagaan sama ada kerana faktor ekonomi keluarga atau minat keusahawanan.
Namun antara cabaran pelajar lepasan SPM ialah persaingan sengit untuk mendapatkan tempat di matrikulasi dan asasi kerana kuota yang terhad, hanya pelajar cemerlang yang berjaya. Selain itu, kos pengajian turut mempengaruhi keputusan, terutamanya bagi keluarga yang berpendapatan rendah.
Walau bagaimanapun, janganlah kita menyambung pelajaran semata-mata kerana risau akan masa depan yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan tetapi niatkan untuk menuntut ilmu.
Seperti Rasulullah SAW bersabda:
“Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap muslim.”
(HR. Ibnu Majah)
Sebagai umat Islam, ilmu akan memandu kita menjadi seorang Muslim yang berakhlak. Ilmu sains juga boleh membentuk tauhid dan akhlak seorang Muslim sekiranya kita tidak memisahkan ilmu agama dengan ilmu dunia. Mereka yang menuntut ilmu juga mendapat kelebihan.
Seperti sabda Rasulullah SAW :
“Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju surga.”
(HR. Muslim No. 2699)
Kesimpulannya, SPM hanyalah permulaan. Masa depan ditentukan oleh pilihan bijak selepasnya. Hala tuju lepasan SPM bukanlah satu jalan tunggal, tetapi rangkaian pilihan yang luas.
Sama ada melalui matrikulasi, asasi, STPM, diploma, TVET, atau terus bekerja, setiap laluan mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri. Paling penting, pelajar perlu mengenali minat, potensi, dan matlamat hidup mereka sebelum membuat keputusan. Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad, kerana ilmu akan menjaga tuannya.
Nurhadirah binti Adnan
Jawatankuasa Pembangunan Organisasi PEMBINA Pusat


