Hargai jasa seorang ibu

Ibu adalah guru pertama kepada anak-anak, kerana keberadaan mereka yang sentiasa bersama, mendidik dan membimbing anak-anak untuk mentauhidkan Allah.

Ibu juga berperanan, mengajar akhlak dan nilai hidup, bersesuaian dengan fitrah dan naluri keibuaan yang penuh dgn sifat kasih dan sayang.

Malahan anak-anak merasa lebih aman dan selamat berada dalam dakapan ibu yang penyayang.

Jasa ibu juga tidak terbilang apabila mereka juga memikul tanggungjawab untuk mencari rezeki demi sesuap nasi untuk anak-anak.

Ada sesetengah keadaan, terdapat ibu yang bersendirian dalam mengurus dan mendidik anak-anak kerana tiada pasangan di sisi, namun mereka tetap cekal dan tabah melaksanakan tanggujawab sehingga anak-anak tidak merasai kekurangan itu .

Kaum ibu juga sentiasa mendahulukan anak-anak dan keluarga dalam apa jua keadaan.

Disebabkan itu, Lukman al-hakim pernah berpesan kepada anaknya, supaya berbuat baik kepada kedua ibubapa, terutama  ibu yang mengandungkan mereka dalam keadaan lemah termasuk menyusukan dan menjaga mereka dengan baik, tanpa menafikan peranan dan tanggunjawab bapa dalam pembentukan keluarga muslim yang soleh dan sejahtera.

 Hadis nabi juga ada menyebut tentang keutamaan memuliakan ibu sebanyak tiga kali kemudian barulah bapa.

Sebagaimana disebutkan dari Abu Hurairah. Dia berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ dan bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak saya hormati?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Orang tersebut bertanya lagi, “Lalu siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Setelah itu siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Orang tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Akhirnya Rasulullah pun menjawab, “Kemudian ayahmu,” (HR. Muslim).

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan ibu.

Bahagiakan mereka dengan peribadi dan akhlak mulia serta sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka.

Berbaktilah kepada mereka sementara ibu masih hidup kerana doa untuk kebahagiaan anak-anak sentiasa mengiringi hidup mereka seusai solat.

 

Ustazah Zakiah Ab Rahman

Ketua Biro Keluarga & Masyarakat (BKM) Isma

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat