Healing Moden: Di Mana Letaknya Syariat?

Ramai wanita hari ini mencari ‘healing’ tetapi berapa ramai yang benar-benar sembuh?

‘Healing’ – satu istilah moden yang kini menjadi kata kunci kegemaran dalam kalangan wanita, khususnya mereka yang mencari ketenangan, kelegaan emosi dan pemulihan diri daripada luka silam.

Namun, dalam keterujaan mengejar konsep ini, semakin ramai wanita terperangkap dalam bentuk penyembuhan yang kelihatan menenangkan secara zahir, tetapi sebenarnya tersasar daripada jalan iman.

Hari ini, terlalu banyak program ‘healing’ yang berasaskan pendekatan spiritual alternatif — ekspresi emosi tanpa batasan, pemujaan tenaga alam, atau ritual yang menghapuskan sempadan akidah.

Walaupun didakwa bertujuan menyembuhkan emosi dan trauma, pendekatannya menimbulkan persoalan besar dari sudut akidah dan maruah wanita Islam.

Realiti kehidupan wanita hari ini tidak mudah. Tekanan ekonomi, keruntuhan institusi keluarga, tuntutan kerjaya serta beban emosi yang berselirat menjadi rencam ujian kehidupan.

Dalam kelelahan itu, ramai yang mencari penawar. Namun, Islam tidak membiarkan umatnya hanyut tanpa arah.

Islam hadir bukan sekadar menenangkan, tetapi menyembuhkan secara menyeluruh — menyentuh roh, akal dan jasad dalam satu sistem yang sempurna.

Dalam Islam, ‘healing’ bukan bermaksud melupakan kesedihan atau melepaskan emosi secara bebas. Ia merupakan proses tazkiyah al-nafs – penyucian jiwa. Penyembuhan sebenar berlaku apabila luka emosi dibasuh dengan zikrullah, keresahan diubati melalui sujud, dan air mata menjadi sebab terampunnya dosa.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:

الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَتَطْمَىِٕنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِۗ اَلَا بِذِكْرِ اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُۗ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Kisah Saidatina Fatimah R.A. wajar direnungkan. Beliau bukan sahaja puteri kesayangan Rasulullah SAW, malah hidup dalam keperitan dan kelelahan. Namun, saat beliau memohon pembantu rumah kepada ayahandanya, baginda tidak memenuhi permintaan itu.

Sebaliknya, Rasulullah SAW menghadiahkan kekuatan sebenar:

“Ucapkanlah ‘Subhanallah’ 33 kali, ‘Alhamdulillah’ 33 kali dan ‘Allahu Akbar’ 33 kali sebelum tidur.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Inilah bentuk penyembuhan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ia bukan jalan pintas untuk lari daripada ujian, tetapi bekalan kekuatan untuk mendepani kehidupan sebagai wanita mukminah, cukup dengan zikir dan reda.

Islam tidak menafikan kesedihan. Bahkan, Islam mendidik kita agar tidak memberontak terhadap takdir. Kesedihan merupakan fitrah, tetapi respons kita terhadapnya menentukan arah kehidupan seterusnya.

Wanita solehah sepanjang zaman mendidik kita agar tidak menjadikan beban emosi sebagai alasan untuk berpaling daripada agama, tetapi sebagai sebab untuk lebih mendekat kepada-Nya.

Namun kini, semakin banyak bentuk ‘healing’ moden yang secara halus mengetepikan batas syariat, menormalisasi kebebasan ekspresi tanpa kawalan, dan membuka ruang kepada kerosakan akidah. Akhirnya, bukan penyembuhan yang diperoleh, tetapi kelompongan jiwa yang semakin dalam.

Penyembuhan sebenar ialah kembali kepada fitrah — keadaan suci, tenang dan sejahtera yang Allah ciptakan dalam diri setiap insan. Fitrah manusia adalah untuk mengenal Allah, menyembah-Nya serta hidup dalam keseimbangan rohani, jasmani dan akal.

Sebagai wanita beriman, proses penyembuhan kita bukan berpaksikan trend semasa, tetapi bersumberkan wahyu dan hikmah. Ia bukan tentang menyalahkan takdir, tetapi membaca hikmah di sebalik setiap ujian. Di situ ada kekuatan, ada ketenangan dan ada cahaya.

Jika hari ini ada luka dalam jiwa, tenanglah.‘Healing’ kita ada dalam sujud malam, dalam zikir yang mengalir di lidah, dalam reda yang dipelajari perlahan-lahan. Di situlah ketenangan sejati bermula.

Shazmawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA

Scroll to Top