Tindakan tidak bertanggungjawab penganjur Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang dilaporkan menghidangkan arak secara terbuka kepada para tetamu di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, Selangor pada 1 Oktober 2025 adalah penghinaan terhadap Islam dan ancaman kepada identiti negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara.
Maklumat yang tular menunjukkan acara berskala besar ini secara jelas menggunakan nama dan imej rasmi pelancongan negara serta dihadiri oleh wakil antarabangsa, telah menyediakan “free flow” minuman beralkohol seperti wine, beer dan whisky kepada tetamu.
Walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan penglibatan langsung Tourism Malaysia dalam penyediaan makanan dan minuman, majlis tersebut tetap berlaku di bawah nama acara rasmi negara yang membawa nama Global Travel Meet Malaysia 2025.
ISMA menegaskan bahawa perbuatan menganjur, menghidang dan mempromosi arak adalah termasuk dosa besar yang dilaknat Allah SWT dan Rasul-Nya.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Mā’idah: 90)
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Rasulullah melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak; peminumnya, pembuatnya, pemerahnya, pembawanya, yang minta dibawakan, yang menuangkan, yang menjual, yang membeli, yang memakan hasil jualannya dan yang memesan.”
(Riwayat Ibn Mājah & Tirmizi)
Tiada ruang kompromi bagi mana-mana entiti di bumi Malaysia untuk menghalalkan atau menormalisasikan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
ISMA ingin mengingatkan seluruh agensi kerajaan dan swasta bahawa negara ini berdiri atas dasar Islam dan maruah bangsa Melayu-Muslim. Sebarang cubaan untuk menormalisasikan arak atas alasan “acara pelancongan antarabangsa” adalah tindakan menjual kehormatan Islam kepada budaya liberal Barat.
Malaysia adalah tanah air umat Islam yang telah dipelihara dengan darah dan sejarah perjuangan umat. Tindakan provokosi seperti ini adalah pengkhianatan terhadap pengorbanan generasi pejuang terdahulu dalam memelihara agama Islam di negara ini.
ISMA menyeru umat Islam agar bersatu sebagai sebuah ummah bagi mempertahankan kehormatan agama ini dan menolak sebarang bentuk pelancongan, hiburan atau acara rasmi yang mencemar hukum Allah.
Tindakan tegas mesti diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan besar ini. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan kerana ini jelas mecemar kesucian agama Islam dan sensitiviti umatnya.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA