Hijrah membawa erti kemahuan untuk suatu perubahan bagi mencapai ketinggian dalam hidup.
Allah SWT menetapkan bahawa ketinggian dalam hidup itu adalah dengan mengikut syariatNya dalam semua aspek. Umat Islam mesti melengkapkan dirinya dengan segala aspek kekuatan bagi menjadi sebuah Ummah Fadhilah. Ummah Fadhilah membawa maksud umat yang memiliki ketinggian (par excellence) dalam semua bidang.
Bagi mencapai ketinggian ini, umat Islam hendaklah sentiasa memohon kepada Allah SWT untuk diberikan hidayah. Doa yang dibaca dalam setiap rakaat solat fardhu “Tunjukkan kami jalanMu yang lurus” itu menunjukkan kepentingan hidayah dalam kehidupan umat Islam.
Ibnu Qayyim menyatakan bahawa itu adalah antara doa yang terpenting dan bukannya sekadar potongan ayat yang dibaca dalam solat.
“Seorang hamba amat memerlukan hidayah daripada Allah SWT pada setiap saat dan setiap hembusan nafas”
Ibnu Qayyim turut berkata:
اَلْهِدَايَةُ هِيَ الْعِلْمُ بِالْحَقِّ مَعَ قَصْدِهِ وَإِيْثَارِهِ عَلَى غَيْرِهِ، فَالْمُهْتَدِيْ هُوَ الْعَامِلُ بِالْحَقِّ الْمُرِيْدُ لَهُ
Hidayah itu mengetahui kebenaran disertai dengan niat untuk mengetahuinya dan mengutamakannya dari pada yang lainnya. Jadi orang yang diberi hidayah itu adalah orang yang melaksanaka kebenaran dan menginginkannya.
Umat Islam yang diberi hidayah itu adalah umat yang sentiasa berjuang di atas kebenaran. Ilmu dan kebenaran adalah asas kepada sebuah umat yang ingin mencapai ketinggian. Umat mesti dikukuhkan kefahamannya terhadap semua bidang ilmu untuk memimpin sebuah peradaban yang kuat.
Moga dengan permulaan Tahun Hijrah yang baharu ini kita diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk terus istiqamah dalam usaha dan perjuangan membangunkan ummah fadhilah yang memiliki ciri-ciri ketinggian dalam semua aspek kehidupan; kesatuan, kepimpinan, agenda perjuangan, keunggulan dan merdeka.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA