Hijrah Menuju Kekuatan

Maal hijrah yang kita sambut saban kali bersama azam baharu menggambarkan betapa besar dan bermaknanya peristiwa hijrah nabi Muhammad SAW sepanjang perjalanan sejarah umat Islam. Sambutan ini dilatari dengan pengenalan takwim Islam bermula dari awal Muharram diambil dari peristiwa hijrah nabi SAW dan para sahabat R.A.

Hijrah yang dilaksanakan ketika itu bukanlah semata-mata sebuah peristiwa agung bahkan ia merupakan fasa dan noktah penting kepada perjuangan sebuah manhaj Islam iaitu sistem hidup yang satu-satunya diredhai oleh Allah SWT. Hari ini kita di ceruk asia tenggara bernama tanah Melayu ini menikmati indahnya agama Allah SWT yang beribu kilometer jauh dari tempat asalnya bermula.

Ketika ia muncul di tengah-tengah kegelapan jahiliyah arab Quraisy, siapa pun tidak menjangka potensi penganutnya mengembangkan dakwah ke segenap alam. Hamka turut menggambarkan bahawa agama ketika itu pun dikuasai dan dipengaruhi oleh ketua-ketua kabilah menurut kehendak mereka.

Bila digambarkan bagaimana keadaan masyarakat ketika itu, tidak jauh bezanya dengan kerosakan masyarakat kita pada hari ini. Masalah dan kerosakan yang berlaku hakikatnya berakar dari sekecil-kecil unit masyarakat iaitu keluarga. 

Apabila ia tidak diselesaikan di peringkat keluarga, ia terus membarah menjadi permasalahan komuniti setempat yang akhirnya membawa malapetaka kepada keseluruhan generasi masyarakat. 

Lihat, betapa meruncingnya masalah yang berlaku di persekitaran kita melibatkan masalah sosial anak-anak muda, masalah tidak peduli masyarakat terhadap maksiat, masalah keruntuhan rumahtangga, masalah kefahaman Islam yang menyeleweng, dan sebagainya.

Oleh itu, hijrah secara segera perlu dilakukan iaitu hijrah ke arah yang lebih baik meninggalkan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan bahkan merosakkan individu mahupun ummah. Bila ditadabburi ayat Allah SWT dalam al-Quran, kita sebenarnya mampu untuk keluar dan berhijrah dari segala beban permasalahan ini sepertimana Allah SWT menegaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 286:

﴿لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ
رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا
وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ﴾
[ البقرة: 286]

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”. [Baqarah: 286]

Hijrah: Fasa bina kekuatan

Masalah kerosakan yang menimpa masyarakat arab di Mekah pada zaman Rasulullah SAW membuatkan baginda dan para sahabat terus menerus berdakwah sama ada secara rahsia mahupun terbuka. 

Walaupun ditentang keras oleh kaum Quraisy, agama ini akan terus hidup umpama cahaya yang menerangi alam. Tiada yang mampu melenyapkan cahaya Islam melainkan dengan izin Pencipta.

Hijrah merupakan langkah strategik bagi mencari ruang agama ini bertapak dan bernegara. Tiada cita-cita yang indah selain daripada melihat tertegaknya Islam sebagai cara hidup umat manusia seluruhnya. Ini digambarkan oleh Imam Hasan Al Banna dalam rukun baiah Al-Fahmu bahawa Islam adalah sistem hidup yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan.

Namun, hijrah ini tidak akan berjaya tanpa pengorbanan, keyakinan terhadap manhaj Islam, perancangan langkah strategik, dan usaha yang bersungguh-sungguh. Pelbagai jerih perih yang melatari hijrah nabi SAW dan para sahabat. Ada yang berkorban perasaan dan harta, ada yang meninggalkan keluarga yang menjadi darah dagingnya, ada yang mentaati arahan hijrah dalam kekaburan masa depan kehidupannya, tetapi semua ini demi untuk memenangkan agamaNya.

Kerana itu minda para sahabat adalah minda menang iaitu sentiasa berusaha bermujahadah untuk mengangkat Islam di tempat yang tertinggi memimpin seluruh umat manusia. Mereka tidak berpada dengan hanya melaksanakan tuntutan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya tetapi dalam masa yang sama meletakkan diri di perbarisan jihad dengan membina kekuatan kapasiti masing-masing.

Syeikh Dr. Manna’ Qathan, seorang ulama Al-Azhar dalam kitabnya Tarikh Tasyri’ Islami menyebutkan bahawa pensyariatan yang berlaku di Madinah bertujuan untuk membina ummah dan menetapkan hubungan kemasyarakatan. Ini menggambarkan bahawa fasa ketika ummah di Mekah berbeza dengan fasa ketika ummah di Madinah dan ia adalah perjalanan fasa. Segala pensyariatan di fasa Madinah pastinya membina ummah hinggakan Rasulullah SAW sendiri menyebutkan bahawa generasi kurun baginda adalah yang terbaik.

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

 “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.” Riwayat al-Bukhari (3651)

Jelas di sini bahawa tidak bermakna hijrah jika tidak membina kekuatan. Episod awal hijrah membuktikan bahawa baginda SAW membina kekuatan kesatuan antara Muhajirin dan Ansar yang menjadi asas kekuatan ummah dan tapak kepada tamadun Islam yang gemilang setelahnya.

Maka, tanyakan pada diri, di fasa apakah umat Islam berada pada ketika ini? Apakah kapasiti yang perlu dibina bagi mengisi perjuangan manhaj Islam ini supaya ia tertegak suatu hari nanti?

Ummah sedang menantimu wahai sang penghijrah!

Scroll to Top