Baru-baru ini di Sandakan, kita dikejutkan dengan satu isu berkaitan kes liwat yang melibatkan pelajar sekolah di bawah umur yang akhirnya menyebabkan kemaluan dan duburnya bernanah.
Perkara ini sangat mendukacitakan. Didapati yang melakukan aktiviti liwat tersebut adalah tiga orang pemuda yang berumur linkungan 30-an. Hasil laporan juga menunjukkan bahawa terdapat satu aplikasi perkhidmatan ‘seks sesama jenis’ di dalam telefon pintar yang menyebabkan isu ini semakin berleluasa.
Saya merasakan kebimbangan atas kejadian tersebut dan berharap ibu bapa perlu bertanggungjawab dalam memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan telefon pintar di kalangan anak-anak. Tidak dinafikan hari ini teknologi semakin berkembang pesat untuk tujuan ilmu pengetahuan, tetapi ianya perlu diawasi dengan ketat agar tidak disalahgunakan oleh generasi hari ini terutamanya anak-anak kita. Ibu bapalah yang mencorakkan anak mereka, mentarbiyah dan membentuk mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.
Ibu bapa juga adalah cerminan kepada anak-anak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.” (Riwayat Muslim, 4805)
Di dalam ayat Quran Surah At-Tahrim, ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Selain itu, jabatan agama, jabatan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan perlu berkerjasama berganding bahu untuk membanteras isu ini dengan sehabis-habisnya. Program kesedaran masalah ini perlu diadakan di segenap lapisan masyarakat sama ada di peringkat komuniti, IPT, kolej mahupun di sekolah.
Jika perkara ini tidak dibendung dengan baik, maka golongan-golongan yang memperjuangkan isu ini akan terus berani bersuara mempertahankan hak mereka atas isu hak asasi manusia yang memang sudah jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam. Apa yang lebih membimbangkan lagi perkara ini apabila ianya menjadi normalisasi (perkara biasa) dikalangan masyarakat kita seperti penerimaan budaya lelaki lembut, perempuan tomboy dan sebagainya.
Justeru itu, perkara ini tidak boleh diambil ringan dan perlu ada jalan penyelesaian yang tuntas bagi mengelakkan keadaan ini semakin parah di kalangan masyarakat. Kita tidak mahu akhirnya kita akan mendapat kemurkaan Allah SWT sepertimana kaum Nabi Luth.
Allah SWT berfirman dalam Surah Hud ayat 82 dan 83 yang bermaksud,
“Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.”
Berusahalah untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat dengan kefahaman Islam yang syumul bagi menjauhi perkara-perkara yang merosakkan akhlak seseorang muslim itu.
Semoga kita semuanya dilindungi oleh Allah SWT. InshaAllah, amin ya rabbal alamin.
Ustaz Muhammad Nur
YDP ISMA Sandakan